Ahad, 19 Jun 2011

SIAPA BUANG SAMPAH TU ???


Menjaga kebersihan adalah amalan terpenting dalam kehidupan seharian kerana kebersihan tonggak kehidupan yang selesa dan harmoni selain menjadi manifestasi keteguhan iman seseorang kepada Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Kebersihan itu sebahagian daripada iman.” Islam menganjurkan umatnya sentiasa mengamalkan kebersihan mencakupi kebersihan diri, keluarga, tempat tinggal dan tempat beribadat kerana suasana bersih dan suci membawa kepada persekitaran sihat, selamat dan impak kesejahteraan kepada umum. Allah menyukai hamba-Nya yang sentiasa menyucikan diri. Allah berfirman yang bermaksud:

 “Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang banyak bertaubat dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.” 
(Surah Al-Baqarah, ayat 222) 

Membudayakan amalan kebersihan, bermakna kita sentiasa mengambil berat aspek kebersihan dan memberi keutamaan kepada penjagaan kebersihan. Mengabaikan kebersihan bermakna kita dengan sengaja mengundang pelbagai penyakit. Kebersihan itu melambangkan keteguhan iman seseorang kepada Allah.
Di sini saya ingin mengajak pembaca menilai tentang sikap segelintir  masayarakat kita dengan tabiat buruk mereka. Cubalah kita renungkan dengan mata hati yang terbuka luas tentang tabiat sesetengah manusia atau individu yang suka membuang sampah dari luar tingkap kereta. Mungkin apa yang saya coretkan di sini berbaur kemarahan tetapi memang tidak salah kalau saya mengingatkan walaupun dalam nada yang mungkin tidak disenangi oleh orang lain. Memang dari dulu inilah satu-satunya tabiat yang memang tidak boleh diterima tidak kira siapa sahaja yang membuatnya. Kebersihan amat dituntut oleh agama. Tidak kiralah di mana kita berada. Di rumah, di tandas awam, sekolah, pejabat, dan sebagainya. Tapi, kebanyakan daripada kita hanya hendak menjaga kebersihan di rumah saja. Rumah sentiasa  bersih dari sampah sarap, tandas nak suci murni dari segala kekotoran yang menggelikan, pakaian nak bersih dan harum. Tapi, bila di luar rumah kita boleh dengan sesuka hatinya membuang sampah, gunakan tandas awam sewenang-wenangnya dan macam-macam lagilah. Sebab mind setnya, oh tak apa…ada orang cucikan. Ada orang yang akan kutip sampah-sampah tu. Huhuhu…sangat menyedihkan kalau mentaliti seperti ini berterusan.
Sekiranya kita mempunyai sifat yang bertanggungjawab dan cintakan kebersihan, sikap dan tabiat seumpama ini tidak mungkin akan wujud dalam setiap diri kita khususnya umat Islam. Islam telah mengajar penganutnya dari setiap aspek kehidupan namun sikap umat Islam seperti ini semestinya mencerminkan tanggapan negetaif terhadap agama Islam. Alangkah sedihnya ketika kita memandu ternampak kertas atau bekas makanan atau apa jua jenis sampah dibuang melalui tingkap kenderaan. Tapi dengan jelas kereta tersebut milik orang Islam kerana pemandunya berkopiah putih atau bertudung dan lebih jelas lagi terdapa stiker ayat al-quran di cermin belakang keretanya. Aduh.....perkara ini memangnya amat memalukan...
Itulah jadinya apabila perkara ini dianggap remeh, leceh dan kecil sahaja bahkan menjadi tabiat kebanyakkan  pemandu kereta khususnya umat Islam. Tidak kah kita memikirkan bahawa perkara kecil ini akan memberi kesan kepada anak-anak yang melihat keadaan ini dan akan menjadi ikutan kepada mereka. Marilah kita sama-sama menginsafi perkara ini kerana walaupun dipandang ringan oleh kita tetapi natijahnya amat besar kepada kita, agama dan Negara.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan