Ahad, 19 Jun 2011

SIAPA BUANG SAMPAH TU ???


Menjaga kebersihan adalah amalan terpenting dalam kehidupan seharian kerana kebersihan tonggak kehidupan yang selesa dan harmoni selain menjadi manifestasi keteguhan iman seseorang kepada Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Kebersihan itu sebahagian daripada iman.” Islam menganjurkan umatnya sentiasa mengamalkan kebersihan mencakupi kebersihan diri, keluarga, tempat tinggal dan tempat beribadat kerana suasana bersih dan suci membawa kepada persekitaran sihat, selamat dan impak kesejahteraan kepada umum. Allah menyukai hamba-Nya yang sentiasa menyucikan diri. Allah berfirman yang bermaksud:

 “Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang banyak bertaubat dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.” 
(Surah Al-Baqarah, ayat 222) 

Membudayakan amalan kebersihan, bermakna kita sentiasa mengambil berat aspek kebersihan dan memberi keutamaan kepada penjagaan kebersihan. Mengabaikan kebersihan bermakna kita dengan sengaja mengundang pelbagai penyakit. Kebersihan itu melambangkan keteguhan iman seseorang kepada Allah.
Di sini saya ingin mengajak pembaca menilai tentang sikap segelintir  masayarakat kita dengan tabiat buruk mereka. Cubalah kita renungkan dengan mata hati yang terbuka luas tentang tabiat sesetengah manusia atau individu yang suka membuang sampah dari luar tingkap kereta. Mungkin apa yang saya coretkan di sini berbaur kemarahan tetapi memang tidak salah kalau saya mengingatkan walaupun dalam nada yang mungkin tidak disenangi oleh orang lain. Memang dari dulu inilah satu-satunya tabiat yang memang tidak boleh diterima tidak kira siapa sahaja yang membuatnya. Kebersihan amat dituntut oleh agama. Tidak kiralah di mana kita berada. Di rumah, di tandas awam, sekolah, pejabat, dan sebagainya. Tapi, kebanyakan daripada kita hanya hendak menjaga kebersihan di rumah saja. Rumah sentiasa  bersih dari sampah sarap, tandas nak suci murni dari segala kekotoran yang menggelikan, pakaian nak bersih dan harum. Tapi, bila di luar rumah kita boleh dengan sesuka hatinya membuang sampah, gunakan tandas awam sewenang-wenangnya dan macam-macam lagilah. Sebab mind setnya, oh tak apa…ada orang cucikan. Ada orang yang akan kutip sampah-sampah tu. Huhuhu…sangat menyedihkan kalau mentaliti seperti ini berterusan.
Sekiranya kita mempunyai sifat yang bertanggungjawab dan cintakan kebersihan, sikap dan tabiat seumpama ini tidak mungkin akan wujud dalam setiap diri kita khususnya umat Islam. Islam telah mengajar penganutnya dari setiap aspek kehidupan namun sikap umat Islam seperti ini semestinya mencerminkan tanggapan negetaif terhadap agama Islam. Alangkah sedihnya ketika kita memandu ternampak kertas atau bekas makanan atau apa jua jenis sampah dibuang melalui tingkap kenderaan. Tapi dengan jelas kereta tersebut milik orang Islam kerana pemandunya berkopiah putih atau bertudung dan lebih jelas lagi terdapa stiker ayat al-quran di cermin belakang keretanya. Aduh.....perkara ini memangnya amat memalukan...
Itulah jadinya apabila perkara ini dianggap remeh, leceh dan kecil sahaja bahkan menjadi tabiat kebanyakkan  pemandu kereta khususnya umat Islam. Tidak kah kita memikirkan bahawa perkara kecil ini akan memberi kesan kepada anak-anak yang melihat keadaan ini dan akan menjadi ikutan kepada mereka. Marilah kita sama-sama menginsafi perkara ini kerana walaupun dipandang ringan oleh kita tetapi natijahnya amat besar kepada kita, agama dan Negara.



Sabtu, 18 Jun 2011

UCAPAN SALAM DALAM KEHIDUPAN

         “ Assalammualaikum !!!!”   Ucapan ini biasa kita dengar di kalangan umat Islam apabila hendak memulakan suatu bicara atau berkomunikasi sesama mereka sama ada melalui media elektronik ataupun secara bersua muka. Boleh dikatakan ucapan salam ini menjadi pembuka tirai atau mukaddimah yang telah sebati di jiwa umat Islam. Ucapan ini menjadikan manusia yakni umat Islam berhubung rapat dan kenal mengenal antara satu sama lain. Ucapan salam ini diberikan kepada saudara sesama islam walaupun orang islam lain yang kita tidak kenali. Memberi salam adalah satu amalan yang baik di dalam Islam kerana ia merupakan satu doa untuk saudara seislam yang lain.  Galakan memberi salam ini banyak disebutkan Allah s.w.t di dalam al-Quran dan salah satunya di dalam firman Allah s.w.t dalam surah Hud ayat 68 yang kira-kira bermaksud :

“ Dan sesungguhnya telah datang malaikat utusan-utusan Kami kepada Nabi Ibrahim dengan membawa berita yang menggembirakan. Lalu mereka memberi salam dengan berkata : “Salam sejahtera kepada kamu”. Maka tidak berapa lama selepas itu, ia membawa jamuan untuk mereka; seekor anak lembu yang dipanggang”

Namun apa yang menyedihkan kita dewasa ini ialah segelintir sikap umat Islam tidak menjadikan budaya salam ini sebagai satu cara hidup bahkan merasa kekok apabila menggunakannya. Namun ada juga yang mengamalkannya tetapi ramaikah antara kita menyedari bahawa kebanyakan daripada umat Islam tidak memahami maksud salam itu sendiri. Perkara ini sememangnya amat menyedihkan bahkan boleh saya katakan bahawa ia merupakan satu perkara yang amat memalukan. Berdasarkan pengamatan saya bersama masyarakat Islam di Bahagian Betong, Sarawak ini khususnya keadaan ini berlaku disebabkan kejahilan umat Islam terhadap ilmu itu sendiri selain dari memandang rendah terhadap perbuatan atau budaya memberi salam ini. Amalan memberi salam ini hanya dilihat sebagai benda remneh yang tidak harus diambil berat. Kadang-kadang segelintir umat Islam ini lebih senang menggunakan perkataan lain seperti “hoi” , “Eh” dan sebagainya untuk menyapa atau menegur orang lain. Yang lebih menyedihkan lagi ialah mereka di dikalangan pemimpin dan ketua dalam masyarakat yang sepatutnya menjadi contoh kepada orang lain.
Sesetengahnya pula mengamalkan budaya salam ini dalam kehidupan seharian tetapi sebutan lafaz dalam memberi dan menerima salam adalah salah hingga menyebabkan maksud atau doa dalam salam itu tidak mencapai maksud yang sepatutnya. Sebagai contoh yang biasa saya dengar yang berlaku dalam masyarakat dalam memberi salam ialah “Sammekom” yang sepatutnya disebut “Assalammualikum” dan dalam menjawab salam pula sering kedengaran “Waalaikumsalam” sedangkan sepatutnya “waalaikummussalam”. Mungkin banyak lagi sebutan-sebutan salam yang salah berlaku dalam masyarakat kita tetapi masyarakat Islam tidak memandang serius perkara ini.
Apa yang paling menyedihkan lagi ialah sikap umat Islam yang mempermain-mainkan ucapan salam tanpa menyedari bahawa sikap seperti ini seumpama kita menghina agama kita sendiri. Ucapan salam ini sungguh indah sekiranya kita mengamalkannya dengan penuh keikhlasan dan ketaqwaan kepada Allah s.w.t disamping rasa kasih antara kita sesama Islam. Saya menyeru kepada diri saya dan sidang pembaca sekalian supaya kita menjadikan amalan salam ini satu budaya hidup disamping mengamalkannya dengan cara yang betul dan terbaik. Semoga kita menjadi hambaNya yang dibawa masuk ke SyurgaNya dengan dialu-alukan dengan” ucapan salam sebagaimana firman Allah s..w.t dalam surah al-Zumar ayat 73 yang kira-kira bermaksud :

“Dan orang-orang yang bertaqwa kepada Tuhan mereka akan dibawa ke syurga dengan berpasuk-pasuk, sehingga apabila mereka sampai ke syurga yang pintu-pintunya sedia terbuka dan penjaga-penjaganya mengalu-alukan mereka dengan kata-kata : “salam sejahtera kepada kamu, berbahagialah kamu, maka silalah masuk ke dalam syurga ini dengan keadaan tinggal kekal di dalamnya,” (mereka pun masuk)”.


Rabu, 15 Jun 2011

Awas !!! PERMAINANKAH ATAU PERJUDIAN ?

         Bila kita bercakap soal permainan sudah tentu semua orang menyukainya. Tidak kira tua, muda, dewasa, remaja lebih-lebih lagi kanak-kanak pasti menyukai permainan mengikut minat dan kebolehan masing-masing. Perkara ini sememangnya diakui oleh semua pihak dan saya pasti tiada siapa yang menyangkalnya. Namun apa yang saya ingin kongsikan di sini ialah sejauhmanakah kita berhati hati dalam memilih permainan agar tidak terlibat dengan permainan yang berunsurkan perjudian. Bila disebut pula soal judi pastinya umat Islam yang prihatin akan merasa jijik dan benci kepadanya. Perbuatan judi ini diharamkan oleh Islam kerana ia adalah daripada perbuatan syaitan yang mendatangkan kesan yang buruk kepada diri individu yang terlibat dan seterusnya lalai  serta mengabaikan segala perintah-perintah Allah s.w.t.  Tetapi persoalannya, sejauh manakah umat islam memahami konsep judi ini dan bagaimanakah judi ini boleh berlaku? Bila disebut judi pastinya kebanyakkan kita hanya mengatakan nombor ekor, pertaruhan wang dan sebagainya. Namun sedarkah kita bahawa sebenarnya dalam permainan juga kadang-kadang juga berunsurkan judi dan sudah pasti adalah wajib untuk umat Islam menjauhinya. Firman Allah s.w.t dalam Surah al-Baqarah ayat 219 yang kira-kira bermaksud :

“ Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah : “ Pada keduanya adalah dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya.” Dan mereka bertanya pula kepadamu : Apakah yang mereka akan belanjakan (dermakan?) Katakanlah: “ (Dermakanlah – apa apa) yang berlebih dari keperluan (kamu).” Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) supaya kamu berfikir.”

Apa yang saya ingin kongsikan di sini bersama pembaca laman blog saya yang dirahmati Allah ialah tentang permainan “COLOUR PING PONG GAME” yang menjadi permainan wajid di Fun Fair dan mendapat sambutan yang amat hebat daripada pengunjung tidak kira orang islam atau pun bukan. Kepada sesiapa yang pernah berkunjung ke Fun Fair sudah pasti pernah melihat permainan ini. Permainan ini dijadikan sebagai hiburan yang berbentuk permainan yang diniagakan.

Peralatan yang digunakan untuk permainan ini hanyalah air minuman tin atau lebih kita kenal sebagai Air Tin, lapan biji bola yang berlainan warna, meja bola yang diperbuat dari papan yang diletakkan paku yang disusun dan di bawahnya ada corong atau lubang yang hanya boleh dimasuki sebiji bola sahaja, meja yang di atasnya diwarnakan petak-petak yang mempunyai lapan warna yang sama dengan bola. Cara dan cara permainan ini amat mudah. Pemain hanya perlu meletakkan air minuman tin yang dibeli dengan peniaga tersebut di atas petak-petak yang disediakan mengikut warna yang diingini dan dikehendaki. Selepas itu peniaga akan melepaskan bola di atas papan yang berwarna yang diletakkan paku dan hanya bola yang memasuki lubang atau corong sahaja dikira sebagai bola bertuah. Sekiranya warna petak yang diletakkan Air Tin itu sama dengan warna bola yang bertuah tersebut, maka pemain akan dihadiahkan enam tin air bagi setiap tin minuman yang dipertaruhkan. Bagi yang meletakkan Air Tin dalam petak yang tidak sama dengan bola bertuah maka Air Tin tersebut akan diambil oleh peniaga. Bagi pemenang, permainan ini boleh membuat pilihan menukarkan Air Tin yang dimenangi dengan wang atau meneruskan permainan tersebut.
Begitulah mudah dan seronoknya permainan ini. TAPI AWAS!!! Halalkah permainan ini? Sama-samalah kita renung dan memahami permainan ini agar kita tahu adakah unsur pertaruhan wujud dalam permainan ini. Jika ada, halalkan air minuman yang diperolehi untuk diminum oleh anak-anak kita? Sejauh manakah kita menyedari permainan seumpama ini mempunyai unsur-unsur yang meragukan kehalalannya. Tepuk dada tanya iman. Renung-renungkan....


Suatu Kisah (Siri-4): Bisa Ular Kapak

Dipetik dari Laman Web Darus Syifa'

Oleh: Abu Aleef

Pak Dol berpakaian baju Melayu serba lengkap dengan bersamping kain songket menyambut tetamu dengan penuh rasa gembira. Dia mempersilakan tetamu menjamu selera di bawah Kanopi yang dipasang berderet di halaman rumahnya.

Hari itu hari yang penuh gembira bagi Pak Dol seisi keluarga kerana anak perempuan bongsunya Aisyah melangsungkan perkahwinan. Azizi adalah abang sulung kepada Aisyah, jarak umur mereka berdua hampir dua puluh tahun.

Azizi telah menjemput Azman sekeluarga ke majlis perkahwinan adiknya itu. Azman sampai kira-kira jam 2:30 petang bersama-sama ahli keluarganya. Kedatangannya disambut mesra oleh Pak Dol (Bapa Azizi) dengan penuh gembira.

Suasana pada hari itu sungguh meriah, lebih-lebih lagi dipasangkan nasyid yang mendayu-dayu dari kumpulan Rabbani. Kadang-kadang terusik juga hati Azman bila mendengar lirik nasyid tersebut iaitu;

Biarlah sedikit asalkan diberkati-Nya
Daripada banyak yang memudaratkan
Berkat di dunia oh indah nikmatnya
Berkat di akhirat balasannya syurga

Suasana yang meriah itu tiba-tiba dikejutkan dengan satu jeritan “Tolong! Tolong! Aiman kena patuk ular” kedengaran suara beberapa orang kanak-kanak berlari-lari ke arah Azizi.

Seorang dari kanak-kanak itu berkata kepada Azizi “Pak Long, Aiman kena patuk ular, tolong cepat Pak Long”. Aiman ialah anak keempat Azizi, sekarang baru belajar di darjah satu.

Azizi memanggil Azman dan mereka terus meluru ke arah belukar tempat ramai kanak-kanak berkumpul. Di situ kelihatan Aiman sedang mengerang kesakitan sambil memegang tempat di patuk ular iaitu dibetisnya. Azizi terus mengangkat dan memangku Aiman, dengan cepat dia membawa Aiman masuk ke dalam rumah.


Azman berikhtiar untuk merawat Aiman. Dia meminta sebotol air kemudian dibacakan doa berikut;

a.Surah Al-Fatihah
b.Bismillah Tujuh


Terjemahan Doa Bismillah Tujuh

1.Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha penyayang
2.Dengan nama Allah yang maha mendengar lagi maha melihat, yang tidak ada sesuatu pun sepertinya, dan Dia maha mengetahui setiap sesuatu.
3.Dengan nama Allah yang maha pencipta lagi maha mengetahui, yang tidak ada sesuatu pun sepertinya, dan Dia maha menguasai lagi maha mengetahui.
4.Dengan nama Allah yang tidak ada sesuatu pun sepertinya, dan Dia maha mengetahui lagi maha bijaksana.
5.Dengan nama Allah yang tidak ada sesuatu pun sepertinya, dan Dia maha mengetahui lagi maha berkuasa.
6.Dengan nama Allah yang maha perkasa lagi maha mulia, yang tidak ada sesuatu pun sepertinya, dan Dia maha perkasa lagi maha mulia.
7.Dengan nama Allah yang maha pengampun lagi maha mengasihani, yang tidak ada sesuatu pun sepertinya, dan Dia maha pengampun lagi maha mengasihani.

Allah adalah sebaik-baik Pemelihara, dan dia maha mengasihani dari segala-galanya. Dan telah berselawatlah Allah ke atas penghulu kami nabi Muhammad juga ke atas kaum keluarga dan sahabatnya dan telah selamatlah.

Setelah doa ini dibaca, Azman meniup pada air dan pada tempat di patuk ular. Dia memberi minum air tersebut kepada Aiman. Dia meminta Aiman minum seberapa banyak yang mungkin air tersebut. Kemudian Azman menyapu air tersebut di tempat dipatuk ular tersebut. Sebagai ikhtiar tambahan Azman meminta sehelai tuala kecil berwarna putih. Tuala tersebut dibasahkan dengan air yang telah didoakan tadi kemudian dibalut di tempat bekas patuk ular tersebut.

Tidak lama kemudian datang Pak Amin, dia cadangkan supaya Aiman di bawa ke hospital. Bagaimanapun Azman dengan penuh yakin mencadangkan supaya bersabar dahulu. Insya’Allah Aiman akan sembuh dengan cepat.

Aiman dibaringkan di atas katil dan ditemani ibunya. Pak Dol, Azizi dan yang lain meneruskan melayan tetamu yang datang.

Setengah jam berlalu Aiman bangun dari katil. Ibunya melarang, Aiman kata dia dah tak sakit lagi. Dia terus turun dari rumah untuk sambung bermain dengan kawan-kawannya.

Azizi datang kepada Aiman dan memarahinya dan suruh dia berehat di dalam rumah. Aiman buat tidak peduli.

Pak Amin bertanya kepada Azizi “Siapa yang merawat Aiman tadi”. Jawab Azizi “Oh! itu kawan saya Azman, dia anak murid Ustaz Haron Din”.

“Oh! Patutlah, berkesan sungguh” kata Pak Amin. Pak Amin ialah bapak saudara kepada Azizi.

Suasana kembali ceria dan bila hampir jam 4:00 petang keadaan semakin lengang kerana tiada lagi tetamu yang datang.

Azman pun minta diri untuk pulang. Sebelum pulang Pak Dol memberikan sebungkus nasi, lauk pauk dan kuih muih untuk Azman sekeluarga bawa pulang.

Dalam perjalanan pulang Azman memasang nasyid di dalam keretanya. Sedang asyik mendengar nasyid tersebut, tiba-tiba bunyi selawat berkumandang dari telefon bimbitnya. Azman menjawab panggilan tersebut. Azman memberi salam kemudian salamnya dijawab.

“Man, datang balik ke rumah aku, anak aku kena patuk ular lagi. Kali ini Aina. Cepat sikit Man” Azizi berkata dengan cemas. Tanpa buang masa Azman terus patah balik.

Di hadapan rumah Pak Dol ramai orang berkumpul. Mereka bercakap sesama sendiri. Mereka kata Ular Kapak yang mematuk Aiman muncul semula lalu Aina cuba memukulnya dengan kayu, malangnya ular tersebut sempat mematuk lengannya. Aina ialah anak kedua Azizi yang sedang bersekolah di tingkatan satu. Ular Kapak tersebut akhirnya berjaya dibunuh oleh orang kampung.

Azman terus berikhtiar untuk merawat Aina sebagaimana dia merawat Aiman. Disebabkan masa yang agak lama Azman tiba, tangan Aina telah bengkak dan biru. Azman memaksa Aina supaya minum air yang didoakan sebanyak mungkin. Keadaan Aina agak kritikal berbanding Aiman. Azman meminta Azizi memandikan Aina dengan air yang telah didoakan.

Waktu maghrib telah masuk, Azman dan sebahagian mereka yang hadir mendirikan Solat Maghrib berjamaah di rumah Pak Dol. Azman mengimami solat maghrib tersebut. Selepas solat maghrib mereka menunaikan solat hajat dan bermohon semoga Allah s.w.t. memberikan kesembuhan kepada Aina dan Aiman.

Selepas Solat Hajat orang kampung pulang ke rumah masing-masing, yang masih tinggal ialah saudara mara Pak Dol yang membantu mengemaskan saki baki yang tertinggal di sekitar tempat kenduri.

Azman berpesan kepada Azizi dan Pak Dol supaya menjaga beberapa pantang iaitu;

1.Jangan dibawa ke hospital setelah diberi minum air yang telah didoakan ini. Kerana air tersebut dengan izin Allah telah menjadi penawar kepada racun bisa ular tersebut, jika di bawa ke hospital, akan diberikan suntikan bisa ular yang akan menyebabkan orang yang telah sembuh akan kembali sakit dan boleh membawa maut.

2.Selama 40 hari elakkan daripada memakan pisang emas (pisang lain tak mengapa) dan juga pulut (atau apa sahaja yang dibuat daripada pulut). Kalau makan juga, ia boleh menyebabkan tempat patukkan menjadi bengkak walaupun bisa telah tiada.

Bila menjelang waktu Isyak, kelihatan Aina telah beransur pulih. Dia boleh duduk dan bercakap-cakap dengan orang di sekelilingnya.

Sebelum Azman sekeluarga pulang, Pak Dol menghidangkan jamuan makan malam. Saudara mara Pak Dol turut menikmati jamuan makan malam tersebut.

Sebelum meninggalkan rumah Pak Dol, suasana kelihatan kembali ceria. Saudara mara Pak Dol serta kedua mempelai turut menghantar Azman sekeluarga ke kereta tanda penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga.

Dua hari selepas itu diwaktu subuh, Azman menerima panggilan telefon daripada Azizi. Berita yang diterimanya adalah berita yang memilukan. Aina telah kembali ke rahmatullah. Pada hari pengebumian Aina, Azman hadir sekeluarga. Isteri Azman turut membantu memandi dan mengkafankan janazah. Azman pulang sehingga selesai janazah di kebumikan.

Disebabkan suasana yang agak menyedihkan pada hari pengebumian, Azman tidak sampai hati untuk bertanya kepada Azizi apa sebenarnya yang telah berlaku kepada Aina.

Sebulan selepas itu Azizi datang ke Bandar Baru Bangi kerana ada urusan keluarga. Selepas urusannya selesai dia sempat berkunjung ke rumah Azman. Ketika itulah Azman berkesempatan bertanya apakah yang sebenarnya telah berlaku kepada Aina.

Azizi menceritakan, Mak Saudara dia yang dia panggil Mak Uteh telah berkunjung sehari selepas hari kenduri. Pada hari kenduri dia tidak dapat hadir kerana ada tugas kecemasan. Dia merupakan seorang jururawat yang berpengalaman. Apabila mengetahui Aina telah di patuk ular, dia memaksa Azizi supaya Aina dan Aiman dibawa ke hospital. Kata dia, bisa ular kapak sangat berbahaya. Ianya boleh merebak jika tidak di rawat di hospital.

Mak Uteh memaksa Pak Dol supaya membawa cucunya ke hospital sambil menakut-nakutkan Pak Dol. Azizi cuba menghalangnya kerana yakin dengan pesanan Azman supaya jangan di bawa ke hospital, lagipun Aina dan Aiman sudah menampakkan tanda-tanda sembuh.

Akhirnya mereka semua mengalah dan menurut kehendak Mak Uteh. Kebetulan ketika itu Aiman tiada di rumah kerana bermain dengan kawan-kawannya, maka dia tidak ikut serta.

Mereka semua pergi ke Hospital dengan Toyota Unser yang dipandu oleh suami Mak Uteh. Ketika di bawa ke hospital, Aina boleh berjalan sendiri dengan tidak dipimpin. Di hospital Mak Uteh memberikan arahan kepada jururawat yang bertugas sementara yang lain menunggu di ruang menunggu.

Azizi menitiskan air mata kerana sangat sedih untuk meneruskan ceritanya. Malam itu Aina dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) selepas beberapa jam disuntik dengan “Antivenin” sejenis penawar bisa ular. Aina telah tidak sedarkan diri. Berbagai cara diusahakan akhirnya menjelang subuh dia menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Peristiwa yang berlaku itu menyebabkan Mak Uteh berasa kesal dan setahun selepas itu dia memilih untuk bersara awal.

Setahun telah berlalu, namun peristiwa itu tergambar semula bila Azizi berjumpa Azman.

Azizi sangat gembira bertemu Azman. Azman memperkenalkan Rashidi kepada Azizi. Mereka kemudiannya singgah di warung berhampiran untuk minum teh tarik.

Mereka berbual berbagai-bagai topik sehingga tidak sedar akhirnya kedengaran Azan Maghrib. Mereka pergi bersama-sama menunaikan solat maghrib di Masjid berhampiran.

Selesai solat maghrib, Azizi memperkenalkan bapa saudara dia kepada Azman dan Rashidi.

“Pak Abu, ini kawan saya dari Bangi Azman dan Rashidi, Azman ini lah yang merawat Aiman yang kena patuk ular dulu tu” kata Azman kepada Pak Abu.

Pak Abu menetap di kariah masjid berkenaan. Azizi memanggilnya Pak Abu. Pak Abu adalah seorang nelayan, kini jarang lagi pergi ke laut sejak diserang penyakit batu karang yang serius.

“Oh! Anak buah Ustaz Haron Din, boleh tak rawat batu karang” tanya Pak Abu sambil memandang Azman.

“Insya’Allah! Pak Abu” jawab Azman.

“Pak Abu ni, ada batu karang, dah lama dah, macam-macam dah cuba tetapi tak sembuh lagi” kata Pak Abu kepada Azman dengan penuh harapan.

“Kalau tak keberatan berilah petua kepada Pak Abu, macam mana nak rawat sakit ini” tambah Pak Abu.

“Insya’Allah Pak Abu, nanti bila saya ada masa lapang saya akan ke rumah Pak Abu, saya akan hubungi Azizi dahulu” kata Azman.

Bersambung…………

Ahad, 5 Jun 2011

Suatu Kisah (Siri-3): Akar Mengkuang

DIPETIK DARI LAMAN WEB DARUS SYIFA'
Oleh: Abu Aleef


(Nota: Siri-3 ini adalah sambungan dari Siri-2, anda adalah dinasihatkan supaya membaca siri-1&2 terlebih dahulu supaya memahami kesinambungan ceritanya. Klik di sini untuk baca Siri-1 & Siri-2)


Pada petang itu kira-kira jam 2:10 petang, Azman bertekad untuk berjumpa dengan Ustaz Saiful. Ustaz Saiful menyampaikan kuliah agama dua minggu sekali di surau tingkat tiga di bangunan tempat dia bertugas sebagai ketua keselamatan.


Bila Ustaz Saiful menghampiri pondok pengawal, Azman terus pergi ke arahnya, “Ustaz, boleh saya nak bertanya sedikit” Tanya Azman kepada Ustaz Saiful.


“Boleh, berkenaan apa?” Ustaz Saiful bertanya kembali.


“Saya nak belajar al-Quran dengan Ustaz, boleh ke?” tanya Azman dengan penuh bersemangat.


“Boleh, datanglah ke Madrasah tempat ana mengajar hari Sabtu dari 2:30 petang hingga 4:00 petang” Ustaz Saiful menerangkan.


Kemudian Ustaz Saiful menerangkan kepada Azman bagaimana untuk sampai ke Madrasah tersebut.


Azman memasang tekad untuk belajar bersungguh-sungguh. Pada petang Sabtu berikutnya Azman pergi ke Madrasah Ustaz Saiful. Dia sampai awal sekitar pukul 2:00 petang. Ustaz Saiful tidak kelihatan lagi ketika itu.


Ketika jam hampir 2:30 petang, pelajar-pelajar mulai memenuhi bilik darjah. Azman terasa agak malu kerana yang hadir adalah dari kalangan remaja berumur dari 13 hingga 15 tahun.


Terasa berat untuk masuk ke bilik darjah tersebut. Tiba-tiba bahu kanannya dipegang dari belakang. Azman menoleh


“Oh! Ustaz rupanya” Azman berkata.


“Silalah masuk, Azman” Ustaz Saiful mempersilakan Azman masuk ke bilik darjah tersebut.


Dengan agak malu Azman masuk juga ke bilik tersebut. Semua memerhatikannya. Ustaz Saiful mengambil sebuah al-Quran dari rak, kemudian memberikannya kepada Azman.


“Ana belum ambil wuduk lagi ustaz. Ana keluar sebentar untuk ambil wuduk” kata Azman.


Setelah mengambil wuduk Azman masuk semula ke dalam bilik darjah.


Ustaz Azman menyuruh murid-muridnya membuka al-Quran masing-masing dan memulakan dengan Surah An-Nisa’ ayat 80.


Ustaz Azman menerangkan hukum Tajwid bagi setiap huruf dalam ayat tersebut. Kemudian muridnya setiap orang masing-masing membaca ayat tersebut. Akhirnya semua 20 orang membaca ayat tersebut dengan fasih.


Bila tiba giliran Azman, lidahnya kelu dan tidak terkeluar suara dari mulutnya. Ustaz Saiful menyuruh juga Azman membaca ayat tersebut. Azman membaca dengan tergagap-gagap. Ustaz Saiful tidak menegur langsung bacaannya.


Pada petang itu, mereka semua membaca ayat 80 hingga 85. Di akhir sekali Ustaz Saiful menjelaskan maksud dan inti sari daripada ayat-ayat yang telah dibaca.


Bila semua telah beredar, Ustaz Saiful mengajak Azman bersolat jemaah Asar di Surau. Ustaz Saiful mengimamkan solat Asar berjamaah tersebut.


Selepas selesai Solat Asar, Ustaz Saiful berkata kepada Azman “Enta perlu belajar semula al-Quran dari asas. Enta tak berapa kenal huruf dan makhraj huruf pun tak berapa betul”.


“Ana faham Ustaz” Azman tunduk dan berasa malu.


“Beginilah, kalau enta sanggup ana cuma ada masa selepas waktu subuh iaitu sekitar 20 minit. Kalau enta boleh datang ke surau ini setiap hari Isnin hingga Khamis ana boleh ajar enta dengan asas al-Quran” Ustaz Saiful mencadangkan.


“Insya’Allah ana akan cuba ustaz” kata Azman dengan bersungguh-sungguh.


Pada hari Isnin berikutnya, setengah jam sebelum waktu Subuh Azman telah bangun bersiap-siap untuk pergi ke Surau Ustaz Saiful. Jarak Surau itu dengan rumahnya mengambil masa kira-kira 15 minit dengan kereta. Azman bersolat Subuh berjamaah di surau tersebut. Selepas selesai solat subuh Azman pergi menghampiri Ustaz Saiful.


Pada pagi itu Ustaz membawa Buku Qiraati. Ustaz mengajar dengan bersungguh-sungguh. Azman beberapa kali kena tegur. Kadang-kadang tinggi juga suara Ustaz Saiful menegur Azman.


Minggu pertama dan kedua berjalan dengan baik, tidak banyak kemajuan dicapai oleh Azman. Mungkin lidahnya telah terlalu keras untuk menyebut makhraj huruf dengan betul.


Azman mulai rasa jemu. Dia malas bangun awal. Beberapa kali dia tak datang belajar. Pada minggu ke empat dia terus tak datang belajar.


Selang seminggu, Ustaz Saiful menelepon Azman, katanya ada hal mustahak nak jumpa dengan Azman. Ustaz Saiful mengajak Azman bersembahyang Asar di Suraunya pada petang Sabtu itu.


Selepas solat Asar, Ustaz Saiful berkata dengan agak terkilan kepada Azman. Suaranya agak tinggi seperti marah “Kenapa dengan enta ini. Ana bersusah payah nak menolong enta, tapi enta pula yang tak serius. Apa masalah enta ni?”


“Ana tidak ada masalah ustaz, cuma ana rasa jemu dan rasa susah nak ikut apa yang ustaz ajar” jawab Azman.


“Enta baru diuji sedikit dah rasa jemu. Enta kata nak pertingkatkan diri, nak buat perubahan dalam diri enta, baru diuji sikit dengan jemu dah mengalah? Mana perginya azam enta selama ini?” Ustaz Saiful menambah.


Azman tunduk tidak berkata apa-apa.


“Belajar al-Quran memang banyak ujiannya. Ujian yang paling besar ialah godaan syaitan supaya kita cepat mengalah dan mudah rasa jemu. Enta perlu banyak berdoa, mohon Allah memberikan kekuatan jasmani dan rohani supaya boleh istiqamah. Setiap kali sebelum tidur lakukanlah solat taubat kemudian bertaubat kepada Allah setiap hari. Berdoa kepada Allah agar diberikan hati yang tetap dalam beribadah, diterangkan hati, dikuatkan ingatan dan mudah faham dengan pelajaran yang dipelajari” Ustaz Saiful menambah lagi.


“Ana faham ustaz” kata Azman.



“Jadi sekarang bagaimana? Enta nak teruskan belajar atau tidak?” Ustaz Saiful bertanya dengan tegas kepada Azman


“Baiklah ustaz, mulai hari ini ana berjanji akan belajar sungguh-sungguh dan tidak akan ponteng lagi” Jawab Azman dengan bersungguh-sungguh.


Sebulan selepas kenduri di rumah Dr. Ramlee, Azman mendapat panggilan telefon dari kawan baiknya Rashidi.


“Man, kau boleh ikut aku tak ke Kuala Selangor hari Ahad akan datang ni?” Rashidi bertanya Azman.


“Ada apa? Tanya Azman


“Pak Saudara aku sakit dah hampir dua bulan, boleh tak tolong tengok-tengokkan sikit” terang Rashidi.


“Insya’Allah. Pergi dengan kereta kau ke? Azman bertanya lagi.


“Ya, dengan kereta aku. Aku ambil kau jam 10 pagi ok? Terang Rashidi.


“Ok, insya’Allah” jawab Azman.


Pada pagi itu Rashidi datang ke rumah Azman. Azman mempelawa Rashidi masuk kerumahnya terlebih dahulu untuk bersarapan.


Mereka bertolak ke Kuala Selangor dari Bangi jam 10:30 pagi. Sampai di Kuala Selangor ketika matahari dah hampir tegak di atas langit.


Ketika dalam perjalanan Rashidi menceritakan penyakit yang dihidapi oleh bapa saudaranya. Bapa saudaranya seorang yang mengusahakan sawah padi. Suatu hari dia menghidapi sakit kepala dan doktor di klinik kerajaan memberikannya sejenis ubat untuk melegakan sakit kepala tersebut. Selepas seminggu makan ubat tersebut, sakit kepada hilang tetapi tak semena-mena dia jatuh pengsan. Bapak saudaranya tidak mempunyai anak, jirannya telah membawanya ke hospital.


Di hospital doktor mengesahkan bahawa kedua-dua buah pinggangnya telah tidak berfungsi 100%. Menurut kata doktor “Pain killer” yang dimakannya untuk mengatasi sakit kepala telah menyebabkan buah pinggangnya rosak teruk.


Untuk sampai ke rumah Bapa Saudara Rashidi, mereka melalui kawasan sawah padi. Ketika itu padi sedang berbunga. Pemandangan sawah yang menguning kelihatan seluas mata memandang.


Rumah Bapa Saudara Rashidi terletak di tengah kawasan bendang. Agak panas ketika tengah hari. Sebelum sampai ke rumah itu mereka singgah di surau untuk menunaikan solat Zuhur terlebih dahulu.


Sampai di rumah itu, Rashidi memperkenalkan Azman kepada bapa saudaranya dan mak saudaranya. Bapa saudaranya ketika itu sedang duduk di atas kerusi malas sambil kakinya berlunjur menghadap television.


Azman bertanya khabar. Kemudian mak saudara Rashidi mengajak mereka makan tengah hari. Bapa saudara Rashidi mempersilakan mereka makan.


Mereka berdua makan bersila di atas tikar mengkuang yang dibentengi di ruang tamu rumah itu. Bapa saudara Rashidi duduk di sebelah memperhatikan mereka makan.


Ketika mereka sedang makan bapa saudara Rashidi berkata “Makanlah, itu sahajalah yang ada. Pakcik dah dekat dua bulan tak keluar rumah untuk beli barang dapur”


Semua keperluan dapur mengharapkan bantuan dari jiran sebelah rumah dan bapa saudara Rashidi yang sulung (Pak Long) yang tinggal berhampiran untuk membelinya.


Selesai makan mereka berdua menolong mengemaskan pinggan mangkuk dan di hantar ke dapur. Azman memerhatikan di dapur rumah itu berselerak dengan daun mengkuang. Rupa-rupanya mak saudara Rashidi menganyam tikar dan tudung saji dari daun mengkuang untuk dijual sebagai pendapatan tambahan selain hasil daripada padi.


Dalam keadaan berbisik Azman bertanya kepada Rashidi “Siapa nama pak saudara kau?”


“Ishak. Orang kampung panggil Pak Sahak” kata Rashidi.


Selepas itu mereka duduk di sebelah Pak Sahak.


“Bagaimana keadaan pakcik sekarang? ” Tanya Azman


“Macam inilah, berpantang banyak sikit sekarang ini. Minggu depan akan ke hospital lagi. Doktor kata mungkin buah pinggang pakcik dah tak boleh berfungsi lagi nanti kena pakai mesin hemodialisis” kata Pak Sahak.


“Tak tahulah nak buat macam mana kalau pakai mesin tu. Nasib baik Pak Sahak pencen askar kalau tidak mungkin kena bayar dekat 3000 sebulan” isteri Pak Sahak mencelah.


“Yang susahnya sekarang ni nak ke hospital, kenderaan pun tak ada. Terpaksa mengharap Pak Long kau. Itu pun kalau dia ada kelapangan” tambah isteri Pak Sahak lagi.


“Jangan putus asa Pak Ngah, Azman ini perawat dari Darussyifa’, mungkin dia boleh ikhtiarkan sesuatu untuk penyakit ini” Azman mencelah. Azman memanggil bapak saudaranya dengan panggilan Pak Ngah.


“Saya hanya boleh ikhtiarkan sahaja, tetapi kita perlu banyak bermunajat kepada Allah kerana Allah sahaja yang boleh memberi kesembuhan” kata Azman.


“Kalau begitu cubalah ikhtiarkan sesuatu. Pakcik percaya kepada kamu berdua” Pak Sahak berkata dengan sangat mengharap.


“Sesuatu penyakit yang Allah jadikan, diturunkan bersama penawarnya sekali pakcik. Saya yakin penyakit yang pakcik hidapi ini, ubat yang paling mujarab terdapat di kampung ini juga” kata Azman.


“Betuk ke Man?” Rashidi mencelah.


“Makcik, boleh saya tahu di mana makcik dapatkan bekalan daun mengkuang itu” Azman bertanya sambil menunjukkan jarinya ke arah daun mengkuang di dapur.


“Oh! Dulu pakcik kau yang ambil, sekarang anak jiran sebelah rumah tolong ambilkan” kata isteri Pak Sahak.


“Dia ambil di mana makcik?” Azman bertanya


“Dekat kawasan paya belakang sana” Isteri Pak Sahak berkata sambil menunjukkan ke arah belakang rumahnya.


“Akar pokok mengkuang sangat mujarab untuk merawat penyakit buah pinggang. Shidi mari kita pergi dapatkan akar itu” kata Azman kepada Rashidi.


Isteri Pak Sahak memanggil anak jirannya untuk menunjukkan arah ke tempat pokok mengkuang.


Mereka membawa parang kecil dan bekas plastik kemudian menuju ke arah kawasan paya tersebut. Mereka berjalan kaki merentas semak dan belukar. Hampir 15 minit baru sampai ke tempat yang di tuju.


“Banyak sungguh pokok mengkuang di kawasan ini” Azman berbisik di dalam hati.


Yang di ambil untuk dibuat ubat ialah akar-akar kecil yang keluar dari pangkal batang pokok mengkuang yang hujungnya terbenam di dalam tanah. Akar yang paling besar kelihatan sebesar batang pensel.


Seperti biasa Azman tidak lupa pesanan Ustaz Haron Din iaitu untuk memastikan bayang-bayangnya tidak terkena kepada pokok mengkuang itu ketika mengambilnya. Dia memilih akar yang masih muda sahaja. Kerana akar yang muda yang baik untuk di buat ubat.


Azman memberi salam kepada nabi Ilyas kemudian membaca surah al-Fatihah dan selawat ke atas nabi Muhammad s.a.w. kemudian memasang niat iaitu mengambil akar mengkuang itu untuk mengubati penyakit buah pinggang.


Azman memilih akar yang terbaik dan dimasukkan ke dalam bekas plastik yang di bawa bersama.


Di rumah Pak Sahak akar mengkuang dibasuh dengan air bersih kemudian disagat dengan menggunakan penyagat plastik. Akar yang telah disagat dimasukkan ke dalam sebuah kendi (jug) kaca.


Kendi kaca itu kemudiannya diisikan dengan air. Azman membacakan doa berikut pada air dan akar mengkuang di dalam kendi itu.


1. Surah Al-Fatihah


2. Selawat Syifa'


3. Surah al-Mukminuun:115~118



Maka apakah kamu mengira, bahwa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main (saja), dan bahwa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami? Maka Maha Tinggi Allah, Raja Yang Sebenarnya; tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Dia, Tuhan (Yang mempunyai) Arasy yang mulia. Dan barang siapa menyembah tuhan yang lain di samping Allah, padahal tidak ada suatu dalil pun baginya tentang itu, maka sesungguhnya perhitungannya di sisi Tuhannya Sesungguhnya orang-orang yang kafir itu tiada beruntung. 118- Dan katakanlah: "Ya Tuhanku berilah ampun dan berilah rahmat, dan Engkau adalah Pemberi rahmat Yang Paling baik."


4.  Surah Asy Syu'ara:130



Dan apabila kamu memukul atau menyeksa, kamu melakukan yang demikian dengan kejam bengis?


Setelah doa dibacakan, air dan akar mengkuang di dalam kendi itu di biarkan selama setengah jam supaya akar mengkuang itu mendak ke bawah.


Setengah jam berlalu, Azman mengasingkan air dibahagian atas kendi ke bekas yang lain kemudian mengambil mendakkan akar mengkuang lalu di sapu ke bahagian pinggang Pak Sahak. Sambil menyapu dia membacakan ayat 130 surah Asy Syu'ara.


Air yang diasingkan dari mendakkan akar mengkuang tadi diberi minum kepada Pak Sahak


Sebelum beredar, Azman berpesan kepada Pak Sahak supaya membanyakkan doa’ ke hadrat Allah agar penyakit buah pinggang yang di hidapi sembuh. Minum air dan sapu mendakkan akar mengkuang itu selalu terutamanya sebelum tidur setiap hari.


Setelah semuanya selesai mereka berdua berangkat pulang. Dalam perjalanan pulang mereka singgah sebentar di pekan Kuala Selangor. Tiba-tiba seseorang menyapa Azman.


“Man kau dari mana? hampir setahun kita tak jumpa” Azizi kawan baik Azman menyapa.


Mereka berdua berpelukan dengan sangat gembira. Bila Azizi melihat Azman air matanya berlinang kerana terkenangkan dua orang anaknya yang di patuk ular kapak.


Peristiwa itu berlaku setahun yang lepas ketika Majlis Kenduri Perkahwinan adik bungsu Azizi.

Apakah yang telah berlaku kepada dua orang anak Azizi?

……ikutilah kisah selanjutnya akan datang....


Kisah dan jalan cerita ini tidak ada kaitan dengan orang yang hidup ataupun yang telah meninggal dunia. Bagimanapun maklumat tentang rawatan Darussyifa dan pesanan Ustaz Haron Din dalan kisah ini adalah benar dan boleh di jadikan panduan dan pengetahuan.