Ahad, 24 April 2011

JIHAD EKONOMI


Secara umumnya, hukum jihad ekonomi sama dengan hukum jihad itu sendiri. Ia adalah kefarduan yang ditentukan oleh syarak dan merupakan keperluan yang dituntut oleh akidah. Dalam banyak tempat dalam al-Quran, jihad ekonomi atau jihad dengan harta disebut bersekali dengan jihad nyawa. Antaranya ialah firman Allah swt ketika menggambarkan sifat-sifat orang yang beriman yang bermaksud (al-Hujurat: 15): “Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya).”
Allah swt berfirman lagi (al-Saff: 10-13) yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan suatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu daripada azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga ‘Adn. Itulah kemenangan yang besar. Dan ada lagi limpah kurnia yang kamu sukai, iaitu pertolongan daripada Allah dan kemenangan yang cepat (masa berlakunya). Dan sampaikanlah berita yang mengembirakan itu kepada orang-orang yang beriman.”
Rasulullah saw juga menegaskan tentang jihad dengan harta ini melalui sabdanya yang bermaksud: “Sesiapa yang mempersiapkan seorang pejuang pada jalan Allah, maka sesungguhnya (seolah-olah) dia sendiri yang keluar berjuang. Sesiapa yang menggantikan pejuang ketika ketiadaannya (pejuang) untuk menjaga keluarganya (keluarga pejuang), maka (seolah-olah) dia sendiri yang keluar berjuang.” (Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)
            Rasulullah saw juga pernah memberikan amaran dengan azab seksa yang pedih terhadap golongan yang keberatan dan ragu-ragu untuk berkorban harta demi membantu agama Allah. Baginda saw bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang tidak pernah berperang, dan tidak pernah mempersiapkan seorang pejuang, atau tidak pernah menggantikan pejuang untuk menguruskan keperluan keluarganya, Allah akan menimpakan musibah kepadanya sebelum hari kiamat.” (Muttafaq ‘alaih)
Jika orang-orang kafir, musyrik, salibi dan Yahudi sanggup membelanjakan harta mereka untuk memusuhi Islam, maka orang Islam juga wajib untuk membelanjakan harta mereka pada jalan Allah untuk menjaga keselamatan ummat Islam. Hal ini telah disebutkan secara tidak langsung oleh Allah swt yang bermaksud (al-Anfal: 36): “Sesungguhnya orang-orang kafir yang selalu membelanjakan harta mereka untuk menghalangi (manusia) daripada jalan Allah, maka mereka tetap membelanjakannya, kemudian (harta yang dibelanjakan) itu menyebabkan penyesalan kepada mereka, tambahan pula mereka dikalahkan. Dan (ingatlah) orang-orang kafir itu (akhirnya) dihimpunkan dalam neraka jahanam.”
Dalam ayat yang lain, Allah swt juga menggesa ummat Islam agar membelanjakan harta pada jalan Allah. Firman Allah yang bermaksud (al-Baqarah: 261): “Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya.” 3

Ahad, 10 April 2011

DARURAT / DARURAH

1- Al-Jurjani menyatakan: Darurat itu berasal dari kata al-dharar yang bermakna sesuatu yang turun tanpa ada yang boleh menahannya. (Al-Jurjani, al-Ta’riifaat,hal.120).

2-  Imam Ibnu Mandzur berkata: Makna dari idhthiraar ialah, memperlukan sesuatu.(Ibnu Mandzur, Lisaan al-‘Arab). Al-Laits menyatakan: Idhthaara bermakna, bahawa seseorang itu benar-benar memperlukan sesuatu.

3-  Dalam kamus al-Mu’jam Al-Wasith, muka surat 538, kata dharurah mempunyai makna keperluan (hajah), sesuatu yang tidak dapat dihindari (laa madfa’a lahaa), dan kesulitan (masyaqqah)

Beberapa ‘ulama mendefinisikan dharurat (darurat) sebagai berikut;

Menurut Imam Al-Syatibi dalam kitabnya Al-Muwafaqat, darurat ialah :

1. Keadaan yang terlalu mendesak hingga tidak memungkinkan seseorang untuk menjaga dan mempertahankan lima perkara pokok dalam syarak iaitu soal agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

2. Sebuah keadaan dimana seseorang berada dalam suatu batas apabila ia tidak melanggar sesuatu yang diharamkan maka ia boleh mengalami kematian atau nyaris mati.”

3. Sebahagian ulama mazhab Maliki menyatakan:

Darurat adalah mengkhuatirkan diri dari kematian berdasarkan keyakinan atau sekadar sangkaan kuat.” (Syarah Kabiir Ma’a Hasyiyaat al-Dasuqiy, jilid II/85).

Dalam kitab Ahkaam al-Qur'an, Abu Bakar al-Jash-shash disebutkan, bahawa makna darurat adalah rasa takut seseorang kepada bahaya yang dapat melenyapkan nyawa, atau boleh mencelakai salah satu anggota tubuhnya, kerana ia tidak mahu makan atau meminum sesuatu yang diharamkan. (Abu Bakar al-Jash-shash, Ahkaam al-Quran, jld. I, hal. 159).

Walhasil, selama kita masih memiliki pilihan dan tidak berada dalam keadaan darurat sebagaimana definisi di atas, maka kita diharamkan sama sekali untuk melanggar aturan Allah SWT, meninggalkan kewajiban mahupun mengerjakan tindak yang diharamkan Allah SWT.

4. Menurut Imam Al-Syatibi dalam kitabnya Al-Muwafaqat, darurat ialah keadaan yang terlalu mendesak hingga tidak memungkinkan seseorang untuk menjaga dan mempertahankan lima perkara pokok dalam syarak iaitu soal agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

Contoh I ;


Islam memberikan kelonggaran (rukhsoh) untuk memakan makanan haram seperti babi sesuai dengan kadar keperluaannya untuk kekal hidup apabila berhadapan dengan darurat iaitu keadaan terdesak yang tidak memungkinkannya untuk mendapatkan makanan halal. Hal ini bersandarkan kepada nas al-Quran:
Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan bagimu bangkai, darah, daging babi dan binatang (yang ketika disembelih) disebut (nama) selain Allah. Tetapi barangsiapa dalam keadaan terpaksa (memakannya) sedang ia tidak menginginkannya dan tidak (pula) melampaui batas, maka tidak ada dosa baginya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (al-Baqarah: 173).

Contoh II :

Rasulullah s.a.w mengizinkan Abdurrahman bijn ‘Auf dan Zubair bin ‘Awwam memakai pakaian diperbuat dari sutera yang telah diharamkan untuk kaum lelaki memakainya kerana mereka diserang oleh penyakit gatal.

Contoh III :

4. Menurut ulama madzhab Hanafi, makna darurat yang berkaitan dengan rasa lapar, ialah seandainya seseorang tidak mahu mengguna barang yang diharamkan dikhuatirkan ia boleh mati atau setidaknya ada anggota tubuhnya yang akan menjadi cacat. Seorang yang dipaksa akan dibunuh atau dipotong salah satu anggota tubuhnya, apabila tidak mahu memakan atau meminum sesuatu yang diharamkan, itu bererti ia sedang dalam keadaan darurat. Tetapi, kalau ancamannya tidak terlalu berat, seperti hanya dipenjara setahun atau dihukum dengan diikat, namun tetap diberi makan dan minum, itu bererti ia masih punya pilihan. Dengan kata lain ia tidak sedang dalam keadaan darurat. (Dr. Abdullah Ibn Mohammad Ibn Ahmad al-Thariqiy, al-Idhthiraar Ila al-Athimah wa al-Adwiyah al-Muharramaat. Lihat pula Kasyful Asraar, jilid IV, hal.1517).

Ulama menyepakati bahawa perkara pertama yang perlu dilakukan ialah mengenal pasti apa yang dimaksudkan dengan darurat. Menurut Imam Al-Syatibi dalam kitabnya Al-Muwafaqat, darurat ialah keadaan yang terlalu mendesak hingga tidak memungkinkan seseorang untuk menjaga dan mempertahankan lima perkara pokok dalam syarak iaitu soal agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.
Ini bermakna apabila wujud keadaan terdesak yang boleh menjejaskan penjagaan lima perkara pokok ini, syarak mengizinkan seseorang itu melakukan perkara yang asalnya diharamkan. Walau bagaimanapun, kajian secara teliti harus dilakukan terlebih dahulu untuk memastikan semua pintu alternatif tertutup sebelum membuat keputusan bahawa darurat benar-benar wujud dan tidak dapat dielakkan (Majalah Al-Ahkam Al-Adliah, seksyen 22).
Berpandukan garis panduan inilah maka darurat tidak seharusnya diguna pakai secara sewenang-wenangnya. Apatah lagi untuk menjustifikasikan sesuatu tindakan atau urusniaga yang jelas haram demi memuaskan gelojak nafsu manusiawi yang rakus.