Rabu, 25 Mei 2011

Suatu Kisah (Siri-2): Anak Burung Ciak Rumah

DIPETIK DARI http://www.darussyifa.org

Oleh: Abu Aleef
(Nota: Siri-2 ini adalah sambungan dari Siri-1, anda adalah dinasihatkan supaya membaca siri-1 terlebih dahulu supaya memahami kesinambungan ceritanya. Klik di sini untuk baca Siri-1)

Pagi Selasa itu Azman mengambil cuti dan menjadi sukarela membantu Ustaz Haron Din di klinik Darussyifa’. Kira-kira jam 10:00 pagi, Ustaz Roslan memanggilnya “Azman ada orang nak berjumpa di pejabat” kata Ustaz Roslan.
“Siapa?” tanya Azman
“Dr. Ramlee dari Hospital HUKM” Ustaz Roslan menambah
“Saya tak kenal Dr. Ramlee ni, tapi tak mengapalah” kata Azman.
Azman terus pergi ke pejabat Darussyifa’ untuk berjumpa dengan Dr. Ramlee.
“Assalammu’alaikum” Azman memberi salam kepada orang yang tidak dikenalinya di pejabat Darussyifa’
“Wa’alaikummussalam” jawab Dr. Ramlee.
“Saya Azman, ini Dr. Ramlee ke?” kata Azman
“Ya, saya. Mungkin Ustaz terperanjat sebab saya datang ni” kata Dr. Ramlee
“Saya sebenarnya anak kepada Pak Husin dari Kulim” Dr. Ramlee menjelaskan.
“Oo! Anak Pak Husin, bagaimana dengan keadaan Hafiz sekarang?” tanya Azman.
Walaupun dah dua minggu berlalu, Azman masih teringatkan keadaan Hafiz. Kalau dia teringatkan Hafiz, dia pasti akan berdoa mohon Allah memberikan kesembuhan kepadanya. Azman pun rasa tersilap, sebab tergesa-gesa nak balik sehinggakan terlupa nak minta nombor telepon Pak Husin. Pak Husin pula terlupa nak minta nombor telepon dia.
“Alhamdulillah, keadaan Hafiz dah pulih seperti sediakala sekarang ini” kata Dr. Ramlee.
“Betul ke? Syukur Alhamdulillah” kata Azman
“Kami sekeluarga sangat-sangat terhutang budi kepada ustaz. Bapak saya Pak Husin menyuruh saya mencari ustaz, Alhamdulillah jumpa juga akhirnya. Bapak saya terlupa nak mintak nombor telepon ustaz” kata Dr. Ramlee.
“Jangan terhutang budi dengan saya, kesembuhan adalah daripada Allah SWT. Bersyukurlah kita kepadaNya. Semoga dengan kesyukuran kita itu Allah akan memberikan kesembuhan yang berkekalan” kata Azman.
“Macam mana Doktor boleh cari saya di sini? tanya Azman
“Bapak saya kata, ustaz dari Darussyifa’, jadi saya cari dari internet. Saya jumpa laman web Darussyifa dan terus kemari” Dr. Ramlee menjelaskan.
“Sebenarnya hajat saya kemari, nak jemput ustaz dan Ustaz Saiful sekeluarga datang ke rumah saya pada hari Ahad yang akan datang ini. Ibu dan Bapak saya serta Hafiz insya’Allah akan datang pada hari Sabtu ini. Kami berhajat nak buat kenduri doa selamat. Boleh ustaz datang sekeluarga selepas zohor?” Kata Dr. Ramlee.
“Saya mungkin tak ada masalah, isteri dan anak-anak, saya akan “confirm” kemudian. Nanti saya bagi tahu Ustaz Saiful” kata Azman.
Sebelum mereka berpisah, mereka bertukar-tukar memberi nombor telepon. Dr. Ramlee memberikan alamat rumah dia kepada Azman.
Pada hari Ahad itu, kebetulan mentua Azman datang berkunjung kerumahnya untuk beberapa malam. Ustaz Saiful pula ada kelas Al-Quran juga tak dapat ikut sama. Azman terpaksa pergi seorang sahaja ke rumah Dr. Ramlee.
Azman memandu kereta Iswara berwarna birunya memasuki kawasan elit, rumah dikawasan itu semuanya banglo yang unik bentuknya setiap satu. Berpandukan alamat yang diberi, akhirnya Azman sampai di rumah Dr. Ramlee. Ketika itu orang ramai dah memenuhi kawasan rumahnya.
Azman memberi salam. Salamnya dijawab oleh Pak Husin kemudian Pak Husin datang meluru kepadanya dan memeluknya dengan erat.
“Alhamdulillah! Alhamdulillah! Alhamdulillah!, terima kasih ustaz kerana datang” kata Pak Husin sambil memeluk Azman.
“Saya datang seorang sahaja, isteri dan anak-anak tak dapat datang, ada tetamu dirumah. Ustaz Saiful pula ada kelas petang ini” kata Azman.
Pak Husin membawa Azman masuk kerumah dan Azman bersalam-salaman dengan tetamu di dalam rumah tersebut.
Hafiz pun ada sama, bila nampak Azman, Hafiz terus mendapatkannya dan memeluknya dengan erat.
Majlis doa selamat di pimpin oleh imam Masjid yang berhampiran. Selepas majlis selesai dan tetamu mulai beredar pulang, Azman pun minta diri untuk pulang tetapi di halang oleh Pak Husin.
“Janganlah balik dulu Azman, duduklah dulu sekejap, pakcik nak sembang dengan Azman sekejap” kata Pak Husin.
“Baiklah Pak Husin” kata Azman.
Mereka duduk bersembang di bawah pondok kecil di halaman rumah Dr. Ramli. Pak Husin terus bercerita.
Pada waktu subuh itu tiba-tiba Pak Husin di kejutkan oleh isterinya.
“Abang Haji, Hafiz tak ada dalam biliknya, dalam rumah pun tak ada, pintu dapur terbuka. Dia dah hilang bang” kata isteri Pak Husin.
Pak Husin terus bingkas bangun. Waktu itu kira-kira setengah jam sebelum masuk waktu subuh. Isteri Pak Husin mengejutkan Hafizah juga. Mereka semua agak kelam kabut.
“Hello! Siapa tu, Farid ke?” Pak Hussin menelepon anaknya yang tinggal di Sungai Petani.
“Ya, ada apa ayah? Macam cemas sahaja” jawab Farid melalui telepon bimbitnya.
“Adik kau Hafiz hilang dari rumah, cepat kau datang ke sini” kata Pak Husin.
Tanpa bayak cerita Farid bersiap untuk ke Kulim dari Sungai Petani.
Pak Husin agak kepenatan dan rasa semput datang. Dia kemudian duduk di kerusi. Tak lama kemudian kedengaran Azan Subuh berkumandang. Terasa sayup dan sayu mendengar Azan Subuh tersebut. Dalam hatinya berkata siapa yang azan subuh tu, lain sahaja suaranya.
Disebabkan semputnya, dia solat Subuh dirumah sahaja. Kira-kira telah selesai orang berjamaah subuh tiba-tiba ada orang datang ke rumah Pak Husin memberi salam. Pak Husin membuka pintu dan kelihatan beberapa orang di luar.
“Pak Husin, kenapa tak solat di Masjid, tak sihat ke?” kata Pak Ali jiran Pak Husin.
“Tidak, saya semput sikit. Baguslah kamu datang aku tengah kelam-kabut ni, si Hafiz anak aku hilang dari rumah subuh ini? Pak Husin menjelaskan.
“Hafiz ada di Masjid, Pak Husin, dialah yang azan subuh tadi. Alhamdulillah nampaknya dia dah sihat” kata Pak Ali.
Lutut Pak Husin mengeletar lalu terus rebah bila mendengar kata Pak Ali. Isterinya turut ke pintu dan Pak Ali dan yang lain mengangkat Pak Hussin ke Sofa di ruang tamu.
“Betul ke apa kau kata ni Pak Ali? Kata Pak Hussin dengan kepenatan.
“Betul. Hafiz masih ada di Masjid. Masa kami datang kemari, dia sedang membaca al-Quran” kata Pak Ali.
Isteri Pak Husin juga terperanjat bila mendengar perkataan Pak Ali. Air matanya menitis tanpa disedari.
Tiba-tiba Azman dan Pak Husin di kejutkan dengan tahi burung yang jatuh di hadapannya. Nasib baik tidak masuk kedalam cawan kopi. Azman melihat ke atas, di lihatnya di atas pondok itu ada sarang burung. Dalam hati Azman berkata Burung itu sedang memberi makan anak-anaknya agaknya.
“Burung ini memang tak ada tempat lain nak buat sarang, nak buat pun di rumah orang” kata Pak Husin.
Pak Husin meneruskan ceritanya.
Selepas cukup rehat, Pak Husin bangun dan hendak keluar tetapi di halang oleh isterinya
“Bang Aji nak kemana? Kan masih lemah lagi” kata isteri Pak Husin
“Aku nak ke Masjid nak tengok Hafiz” kata Pak Husin
“Tak Apa bang, saya dah suruh Hafizah pergi tengok-tengokan Hafis tu di Masjid” kata isteri Pak Husin.
Pak Husin berdegil dia bangun juga. Alhamdulillah dia berasa kuat dan bersemangat. Dia mengambil seliparnya dan berjalan nak ke Masjid. Baru dua tiga langkah. Dia nampak Hafiz dan Hafizah sedang berjalan pulang.
Hafiz tersenyum melihat ayahnya. Sampai di hadapan ayahnya dia mencium tangan kemudian memeluk erat ayahnya. Air mata bercucuran tanpa disedari. Ibunya keluar lalu Hafiz memeluk juga ibunya.
Tak lama kemudian Farid sekeluarga sampai. Mereka semua menitiskan air mata tanpa disedari.
Petang itu Pak Husin memanggil beberapa orang kampung untuk menolongnya menebang semua pokok ciku yang ada di halaman rumahnya. Dia tak lupa pesan Azman.
Azman yang mendengar cerita Pak Husin turut menitiskan air mata tanpa disedari.
Isteri Pak Husin datang mencelah dengan membawa kuih muih dan satu teko kopi.
“Alhamdulillah ustaz, Hafiz dah sihat, semua orang gembira. Terima Kasih ustaz” kata isteri Pak Husin.
“Jangan terima kasih kepada saya makcik, berterima kasihlah kepada Allah kerana Dialah yang berkuasa menyembuhkan segala penyakit” kata Azman.
Isteri Pak Husin tersenyum kepada Azman.
Tak lama kemudian datang Dr. Ramlee duduk bersama mereka. Dr. Ramlee juga bercerita bagaimana usaha yang telah dibuatnya untuk merawat Hafiz tetapi tak juga sembuh.
“Ayah! Ayah! tolong bukak ini” Aiman anak ketiga Dr. Ramlee berumur 6 tahun datang kepadanya supaya membukakan plastik bungkusan gula-gula.
Azman memerhatikan Aiman. Ketika sedang bermain Aiman tiba-tiba lelah dan Dr. Ramlee memberikan dia Ubat Sedut untuk atasi Asma yang di hidapinya.
“Dah lama ke, Aiman mengidap Asma Doktor?” tanya Azman
“Sejak kecil lagi. Buat masa ini macam-macam ubat dah saya cuba tapi tak sembuh juga” kata Dr. Ramlee.
“Kesihan juga saya tengok Aiman, nak bermain lebih-lebih pun tak boleh” tambah Dr. Ramlee.
“Doktor tak cuba rawatan cara lain ke, maksud saya cara tradisional ke?” Azman memberi pandangan.
“Tak pernah pulak. Darussyifa’ ada cara ke?” tanya Dr. Ramlee.
“Kalau Doktor nak cuba, ubatnya ada di atas kepala kita ni” kata Azman sambil menunjukkan ke arah sarang burung diatas pondok tempat mereka bersembang.
“Burung apa itu?” tanya Dr. Ramlee kepada Azman.
“Itulah orang panggil Burung Ciak Rumah. Burung ini kalau buat sarang di rumah orang, tentu ada sebabnya” Azman menjawab.
“Kalau burung itu boleh mengatasi Asma, bagaimana caranya? Pak Hussin pula mencelah.
Azman menerangkan bagaimana cara untuk merawat Asma menggunakan burung ciak rumah.
“Anak burung ciak rumah hanya berkesan untuk merawat kanak-kanak sahaja. Kalau orang dewasa kurang berkesan, mungkin “dos” nya tak mencukupi” tambah Azman memberi penerangan.
“Saya begitu berminat dengan rawatan ini, boleh ustaz buat sekarang” kata Dr. Ramlee.
“Insya’Allah” kata Azman.
Dr. Ramlee mengarahkan pembantunya mengambil tangga dari stornya kemudian Azman memanjat ke sarang burung tersebut.
Dalam sarang burung itu ada lima ekor anak burung ciak rumah yang mungkin baru seminggu menetas. Azman memberi salam kepada nabi Ilyas kemudain membaca Surah Al-Fatihah dan selawat ke atas nabi Mukhamad S.A.W.
“Wahai burung aku mengambil mu untuk ku jadikan ubat sakit asma, insya’Allah” kata Azman kepada burung itu.
Azman hanya mengambil tiga ekor anak burung sahaja, yang lain di tinggalkan dalam sarang. Anak burung itu memang terlalu kecil. Namun begitu mengikut syariat Islam ia perlu di sembelih terlebih dahulu sebelum memakannya.
Azman kemudian menyembelih anak burung tersebut dengan pisau kecil. Di buang isi perutnya dan dibersihkan bahagian luarnya. Burung ini masih tidak berbulu.
Azman meminta sebotol air dan kemudian dia membacakan doa berikut;
1 .Surah Al-Fatihah
2. Selawat Syifa'
3.
Mahfum Doa "Aku berlindung dengan kemuliaan Allah dan kekuasaanNya daripada kejahatan yang aku alami dan aku takuti."
Setelah doa dibaca, dia tiup pada air dan pada burung tersebut. Air yang telah didoakan itu diberi minum kepada Aiman dan sedikit air tersebut di sapukannya di dada Aiman.
Anak burung itu kemudiannya di berikan kepada isteri Pak Husin untuk di buat sup. Sup burung itu akan di berikan kepada Aiman untuk dimakan sampai habis.
Setelah selesai semuanya Azman meminta diri untuk beredar.
Azman singgah di Masjid berhampiran untuk menunaikan solat Asar. Selepas solat Asar bejamaah Azman bertafakur sebentar. Ketika itu dia terdengar seseorang membaca al-Quran. Dalam hati Azman berkata banyak yang tak betul dalam bacaan itu dari segi tajwid dan makhraj hurufnya.
Azman teringat ketika dia di marahi oleh Ustaz Saiful……….bersambung.....kenapa Azman kena marah?
=======================================================================
Kisah dan jalan cerita ini tidak ada kaitan dengan orang yang hidup ataupun yang telah meninggal dunia. Bagimanapun maklumat tentang rawatan Darussyifa dan pesanan Ustaz Haron Din dalan kisah ini adalah benar dan boleh di jadikan panduan dan pengetahuan.

Khamis, 19 Mei 2011

Suatu Kisah (Siri-1): Daun Kering & Pokok Ciku

Dipetik dari Laman Web Darussyifa

Oleh: Abu Aleef
Bacaan selawat tiba-tiba berkumandang dari telepon bimbit Azman, tersentak sebentar Azman dari lamunan. Dia mencapai telepon tersebut, terpapar nama Ustaz Saiful di skrin tersebut. Dalam hatinya oh! Ustaz Saiful yang telepon. Dia menjawab panggilan tersebut dengan terus melafazkan ucapan salam kepada Ustaz Saiful.
“Azman, enta kerja tak hari Sabtu ini” Ustaz Saiful bertanya.
“Tidak, kenapa Ustaz? kata Azman.
“Ana bercadang nak ke Baling Kedah ada jemputan Kahwin. Ana mungkin pergi seorang sahaja, kebetulan kereta ana ada masalah untuk jalan jauh”
“Ana nak mintak tolong enta temankan, kalau boleh naik kereta enta, ana tanggung minyak dan tol, boleh ke?”
“Insya’Allah, tak ada masalah Ustaz” jawab Azman dengan gembira.
Azman bertugas sebagai pengawal keselamatan di sebuah Bangunan 15 tingkat di Bangi, dia bertugas sebagai ketua pengawal keselamatan disitu. Hampir lima belas tahun dia telah bekerja disitu iaitu sejak dia berumur 23 tahun.
Pada pagi Sabtu itu Azman dan Ustaz Saiful telah bertolak dari Bangi kira-kira pukul 8 pagi menuju ke Baling. Mereka sampai di Kupang, Baling hampir dengan waktu Zohor. Selepas solat Zohor dan Asar Jamak Taqdim di Masjid Kupang, mereka terus ke tempat kenduri.
Ustaz Saiful memeluk erat sahabat lamanya Ustaz Umar yang agak lama tak bertemu hampir dua tahun. “Enta datang seorang sahaja ke, keluarga tak ikut sekali? Tanya Ustaz Umar.
“Anak ana yang tua nak ambil SPM dan yang nombor tiga nak ambil UPSR, mereka ada kelas tambahan hari ini” Ustaz Saiful menerangkan.
“Ana datang dengan Sahabat baik ana ini, Ustaz Azman” Ustaz Saiful memperkenalkan Azman.
“Saya bukan Ustaz, panggil Azman sahaja” Sambil tersenyum, Azman cuba merendahkan diri dihadapan Ustaz Umar.
Ustaz Saiful dan Ustaz Umar bersahabat sejak perkenalan mereka ketika menuntut di Universiti al-Azhar Mesir dalam bidang Bahasa Arab dan Syariah.
Hampir sejam juga mereka di rumah Ustaz Umar.
“Terlanjur kita dah sampai Baling ni mari kita singgah di Kulim sekejap, ana nak berjumpa dengan Sahabat ana di Kampung Kelang Lama, boleh ke Azman?” kata Ustaz Saiful kepada Azman.
“Ok, ustaz! No problem” jawab Azman dengan gembira.
Ketika memandu menuju ke Kulim, mereka telah tersesat jalan, lalu mereka berhenti dihadapan sebuah Stesen Telekom. Ustaz Saiful pergi ke pondok pengawal bertanyakan jalan yang betul ke Kulim. Ketika Ustaz Saiful sedang bercakap dengan Pengawal Keselamatan tersebut, Azman teringat ketika dia mula-mula berjumpa dengan Ustaz Saiful.
Kira-kira tujuh tahun yang lalu, jiran sebelah rumah Azman, Hisham menyerahkan borang permohonan untuk belajar di Darussyifa’. Bila terima borang tersebut, Azman berkata kepada Hisham “Saya tak beranilah nak belajar di Darussyifa’, Quran pun aku baca sangkut-sangkut”.
“Inilah peluang kita nak tingkatkan diri kita, sekurang-kurangnya kita boleh menghadiri kelas Tajwid untuk perbaiki bacaan al-Quran kita” kata Hisham kepada Azman.
“Beginilah Azman, engkau lakukanlah solat sunat istikharah, mohon ilham dari Allah supaya buat keputusan sama ada nak belajar atau tidak di Darussyifa’” tambah Hisham lagi.
“Aku bukan apa, anak kecil kau tu selalu sangat menangis tengah-tengah malam, kalau kau belajar ilmu pengubatan Islam, kau sendiri boleh rawat anak kau tu” Hisham menegaskan lagi.
“Ok lah Hisham aku cuba lakukan solat istikharah” kata Azman.
Selang seminggu, Azman menyerahkan borang permohonan tersebut kepada Hisham. “Insya’Allah aku cuba belajar di Darussyifa’, selepas solat istikharah, hati aku rasa berkobar-kobar nak belajar pulak” terang Azman kepada Hisham.
“Alhamdulillah” kata Hisham.
Azman telah menghadirkan diri di sessi temuduga untuk kemasukan pelajar baru. Salah satu soalan yang ditanya, calun disuruh memperdengarkan bacaan Surah al-Fatihah kepada panel penemuduga.
“Bacaan Surah al-Fatihah suadara sangat tidak memuaskan, saudara kena perbaikinya. Bacaan al-Fatihah adalah bacaan asas yang menjadi rukun solat. Kalau al-Fatihah tak betul, solat akan jadi tidak sah” Tegas Ustaz Rashid kepada Azman dalam sessi temuduga.
Selesai sessi temuduga, Azman rasa agak kecewa, ini kerana dia yakin dia tidak diterima belajar di Darussyifa’.
Selang sebulan. Petang itu telepon Azman berdering. Salam diberi diikuti dengan pertanyaan “Boleh saya cakap denga En Azman”.
“Ya saya Azman bercakap, siapa ni?” tanya Azman
“Saya Jufry dari Darussyifa’, tahniah! En. Azman telah diterima untuk belajar di Darussyifa’. Sila hadirkan pada hari pendaftaran Ahad yang akan datang ini”
Hati Azman sungguh gembira tidak terkira. Azman memasangkan tekad untuk memperbaiki bacaan al-Quran. Malam itu dia lakukan solat hajat memohon Allah membantunya agar dia dapat meningkatkan dirinya dalam ‘ilmu agama dan al-quran.
Dia tidak mahu, ketika belajar di Darussyifa’ nanti merasa rendah diri kerana tidak boleh membaca al-Quran dengan baik.
Pada keesokan harinya, ketika sedang bertugas di balai pengawal, seorang lelaki berkupiah putih datang menghampirinya.
“Assalammu’alaikum, boleh saya tanya Surau di tingkat berapa?
“Wa’alaikummussalam, di tingkat tiga encik. Encik nak berjumpa dengan siapa? Tanya Azman.
“Saya nak menyampaikan Kuliah Agama” Ustaz itu menjawab sambil tersenyum.
“Oh! Ustaz rupanya, boleh saya tahu nama Ustaz, bukan apa saya nak rekodkan dalam buku ini sahaja” Azman menambah.
“Nama saya Saiful bin Kamaruddin, panggil saya Ustaz Saiful sahaja” jawab Ustaz Saiful sambil tersenyum.
Itulah pertama kali Azman bertemu dengan Ustaz Saiful. Tujuh tahun telah berlalu, terasa sekejap sungguh, Azman dan Ustaz Saiful telah menjadi sahabat baik.
Sejak berkawan dengan Ustaz Saiful, Azman telah banyak berubah. Sehinggakan pada suatu subuh pagi Jumaat di sebuah surau di kawasan tempat dia tinggal imam tidak muncul-muncul untuk mengimamkan solat Subuh.
Masing-masing tolak menolak tidak mahu jadi imam kerana tidak hafal surah as-Sajadah. Salah seorang jamaah tiba-tiba menolak Azman supaya kehadapan untuk menjadi imam.
Azman terus mengimamkan solat Subuh itu. Selepas al-Fatihah di rakaat pertama dia membaca Surah as-Sajadah dan di rakaat kedua Surah al-Insaan.
Selesai solat subuh, jamaah surah ucap tahniah kepadanya.
“Bila engkau belajar Quran ini, sedap betul kau baca tadi, Alhamdulillah, kau boleh jadi imam ni” kata salah seorang jamaah.
Azman teringat ketika mula-mula berpindah di taman itu sepuluh tahun yang lalu, dia ditegur banyak kali dalam majlis tadarus al-Quran di bulan Ramadhan kerana banyak yang salah dari yang betul dalam bacaan al-Quran yang dibacanya. Sejak itu dia terus malu nak ikut serta majlis tadarus.
Mereka sampai di Kampung Kelang Lama, Kulim agak lewat kerana tersesat jalan. Mereka singgah di Sebuah Masjid berhampiran yang berhampiran. Jamaah Masjid baharu sahaja selesai solat Asar berjamaah. Ada sebahagian jamaah masih bersembang di kaki lima Masjid.
Ustaz Saiful memberi salam dan bertanya kepada salah seorang jamaah di Masjid tersebut.
“Assalammu’alaikum pakcik, boleh saya bertanya, Pakcik kenal tak dengan Ustaz Mohd Nur Ismail, kalau tak silap saya dia tinggal di sekitar kampung ini”
“Oo! Ustaz Mohd Nor tak tinggal disini lagi dia dah pindah ke Gurun” kata Pakcik tersebut dengan menampakkan gigi hadapannya yang tinggal sebatang.
“Terima kasih pakcik” kata Ustaz Saiful.
Ustaz Saiful menampakkan raut keletihan di wajahnya kerana tidak sampai hajat nak berjumpa kawan lama.
Mereka berdua mengambil wuduk kemudian lakukan solat Tahiyatul Masjid. Setelah itu mereka duduk di tangga hadapan masjid untuk berehat sebentar. Mereka tidak lakukan solat Asar sebab telah melakukan Jamak Taqdim.
Tiba-tiba mereka berdua di tegur oleh seorang pakcik yang dalam lingkumgan umur 70 tahun.
“Assalammu’alaikum” kata pakcik itu
“Wa’alaikummussalam” jawab mereka berdua.
“Anak berdua ni dari mana, dari Kuala Lumpur ke?”
“Ya Pakcik, kami dari Bangi, macam mana pakcik tahu?” kata Azman.
“Oo, Pakcik tengok kereta tu macam kereta orang Kuala Lumpur? Pakcik itu menerangkan.
“Anak berdua ni orang Ustaz Haron Din ke” tanya Pakcik itu meneruskan perbualan.
“Saya Saiful dan ini Azman, Azman ni memang orang Ustaz Haron Din, saya belum lagi” Ustaz Saiful menambah.
“Azman memang anak murid Ustaz Haron Din, macam mana pakcik tahu Darussyifa’ ” tambah Ustaz Saiful.
“Oo! Pakcik nampak di belakang kereta tu ada tulis Darussyifa” Pakcik itu menambah sambil menunjukkan ke arah kereta Azman.
Azman memang melekatkan stiker Darussyifa’ di keretanya sejak stiker itu dikeluarkan.
“Pakcik berhajat untuk menjemput anak berdua ke rumah Pakcik untuk minum petang. Boleh kita sambung berbual, kalau tak keberatan. Rumah Pakcik dekat situ sahaja” Kata pakcik itu dengan tersenyum sambil menunjukkan ke arah rumahnya.
Pakcik itu mengajak dengan bersungguh-sungguh akhirnya mereka tidak dapat menolaknya.
“Terima kasih, kerana sudi terima jemputan Pakcik” kata pakcik itu dengan gembira.
“Boleh saya tahu nama Pakcik” Azman bertanya.
“Oh! Terlupa pulak pakcik nak perkenalkan diri, nama pakcik, Haji Hussin, orang kampung panggil Pak Husin sahaja, pakcik ni siak di Masjid ini” Pak Hussin menerangkan.
Kami berjalan ke rumah Pak Husin bersama-sama. Kawasan sekitar sungguh tenang dan damai diikuti dengan angin sepoi-sepoi bahasa yang meniup pokok-pokok getah di sekeliling rumah Pak Husin.
Kelihatan daun-daun kering pokok getah yang berguguran melekat di sarang labah-labah berayun-ayun di tiup angin.
Tidak jauh di halaman rumah itu terdapat pokok ciku yang sedang lebat buahnya dan pokok-pokok bunga yang berwarna-warni menghiasi laman rumah tersebut.
Rumah Pak Husin ialah rumah Kampung yang masih unik dengan keaslian kampungnya. Bahagian hadapan sepenuhnya kayu dan didirikan diatas tiang-tiang kayu yang tinggi melepasi kepala. Bahagian belakang dan dapurnya adalah separuh batu dan separuh kayu.
Ustaz Saiful dan Azman di jemput naik kerumah. Pak Husin pergi kedapur dan menyuruh isterinya menyediakan minuman.
Pak Husin meneruskan perbualan “Pakcik sebenarnya dah lama sangat nak ke Bangi nak jumpa Ustaz Haron Din. Ada orang kata di Darussyifa’ macam-macam penyakit boleh sembuh”
“Di Darussyifa’ kami hanya berikhtiar sahaja dengan kaedah yang dibenarkan oleh Syarak. Hanya Allah SWT sahaja yang boleh menyembuhkan penyakit” Azman menambah.
“ Ada juga anak pakcik yang tinggal di Kuala Lumpur tu nak bawak ke Darussyifa’, tapi asyik tangguh sahaja, ada maca-macam hal pulak. Orang kata susah juga ya nak jumpa Ustaz Haron Din” sambung Pak Husin.
“Memang agak sukar nak berjumpa dengan Ustaz Haron Din. Dia hanya merawat pada pagi Selasa dari jam 7:30 pagi hingga 1:00 tengahari.” Azman menambah
“Kalau nak dapat rawatan terus dengan dia, kita perlu mendapatkan nombor giliran 1 hingga 200, sebab itu ada yang sanggup datang beratur di Darussyifa’ sebelum waktu subuh lagi untuk dapatkan nombor tersebut” Azman menjelaskan.
“Sebenarnya, boleh saya tahu penyakit apa yang pakcik hidapi? Azman bertanya.
“Oh! Sebenarnya bukan pakcik, anak pakcik yang sakit. Pakcik mempunyai tujuh orang anak. Yang sakit anak pakcik yang bungsu. Umurnya baru 25 tahun.” Pak Husin menjelaskan dengan agak sayu.
“Siapa namanya pakcik” Azman bertanya lagi
“Hafiz, sebelum sakit dulu dia belajar di Maktab Mahmud Alor Setar. Sejak akhir-akhir ini penyakit dia makin teruk. Selalu sangat mengigil dan meronta-ronta” Pak Husin menambah.
Mereka berbual panjang hingga jam hampir menunjukkan pukul 6 petang. Pak Husin menceritakan tentang anak-anak mereka yang berjaya. Anak lelaki sulungnya bekerja sebagai Doktor di Hospital HUKM menakala anak keduanya perempuan bekerja sebagai Guru di Alor Setar. Anak yang ketiga lelaki bekerja sebagai Pegawai KWSP di Sungai Petani. Anak-anak yang lain bekerja sendiri di Terengganu dan juga di Pulau Pinang. Semuanya dah berkahwin kecuali yang ke 6 dan yang bungsu.
“Anak perempuan pakcik yang nombor enam, Hafizahlah yang banyak membantu menguruskan Hafiz” kata Pak Husin
“Pakcik dah bercerita panjang, tetapi pakcik tak cerita lagi, apa penyakit Hafiz” Ustaz Saiful mencelah.
“Terlupa pulak pakcik nak bagi tahu, mula-mula dulu Sawan tapi orang kata Hafiz kena penyakit Gila Babi, dah enam tahun, pakcik dah berubat merata, tapi Allah belum izinkan untuk sembuh” Pak Husin menerangkan dengan sayu.
Seketika kemudian isteri Pak Husin datang duduk di sebelahnya. “Ustaz! kalau Ustaz boleh ubat, ubatlah anak makcik ini” kata isteri Pak Husin dengan nada mengharap.
“Boleh kami tengok Hafiz, pakcik” Azman bertanya.
“Boleh, mari pakcik bawa ke biliknya di bawah sana” Pak Husin dan isterinya bangun dan membawa kami ke bilik hafiz yang terletak di bahagian dapur rumahnya. Ketika itu kelihatan Hafiz sedang tidur.
Setelah Azman memerhatikan keadaan Hafiz dia pun berkata “Saya rasa ubat penyakit ini ada di depan rumah pakcik”
“Mengikut kata Guru saya, Allah menurunkan penyakit dan penawar secara berpasangan. Biasanya penawar kepada sesuatu penyakit itu sangat hampir dengan tempat terjadi sesuatu penyakit itu” Azman menambah.
Dengan agak terperanjat Pak Husin terus berkata “Ya ke? kalau begitu saya merayu kepada Ustaz tolonglah usahakan”
Azman terus menerangkan kepada Pak Husin iaitu untuk mengubati penyakit Gila Babi ini ialah dengan menggunakan daun kering yang gugur melekat di sarang labah-labah. Azman memberitahu Pak Husin, dia nampak banyak daun kering yang melekat di sarang labah-labah berhampiran dengan rumah Pak Husin.
Azman bersama dengan Ustaz Saiful dan Pak Husin pergi mengambil daun kering tersebut. Sebelum mengambil daun tersebut, Azman menerangkan cara-cara nak mengambil daun kering tersebut sebagaimana pesan Ustaz Haron Din kepadanya seperti berikut;
a. Sebelum mengambil daun tersebut memberi salam kepada nabi Ilyas dahulu
b .Kemudian membaca Surah al-Fatihah dan Selawat ke atas Nabi
c. Jangan tindih bayang iaitu ketika mengambil daun tersebut jangan bayang-bayang kita terkena daun tersebut.
d. Ambil daun kering yang terlekat pada sarang labah-labah tersebut dengan menggunakan mulut kemudian selepas ia terpisah dari sarang labah-labah pegang dengan tangan untuk disimpan
e. Ambil sekurang-kurangnya tujuh helai.

Setelah daun tersebut di ambil sebanyak tujuh helai, Azman meminta Pak Husin menyediakan sebaldi air biasa yang di ambil dari perigi. Kebetulan di kawasan tersebut air perigi adalah air mineral.
Kemudian Hafiz di bawa keluar dari biliknya dan dibaringkan di hadapan pintu iaitu kakinya menghadap pintu yang menghala keluar rumah.
Azman meneruskan membaca beberapa kombinasi ayat berikut iaitu;
1.Surah al-Fatihah
2.Selawat Tafrijiyah
3.Surah Al-Hasyr ayat 21 hingga 24
4.Doa Hindar Syaitan
5.Dan beberapa doa lagi

Setelah habis doa di baca, Azman tiup pada Daun Kering dan air dalam baldi tersebut. Azman ambil sehelai daun kering tersebut dan memamahnya dengan mulut bersama sedikit air yang telah didoa. Setelah itu dia menyembur kearah Hafiz dari kepala sampai ke kaki dengan mengisyarat membuang ke luar kearah pintu. Azman mengulanginya tujuh kali dengan tujuh daun yang berasingan.
Setelah itu Hafiz diberi minum dengan air tersebut dan sebahagian air itu di buat mandi. Azman berpesan kepada Pak Husin bahagikan air itu kepada tiga bahagian untuk dibuat mandi tiga kali petang. Mandi sebelum masuk waktu maghrib. Air tersebut adalah untuk membuat bilasan terakhir.
Pada petang itu ibunya memandikan Hafiz dibantu oleh kakaknya Hafizah, akhir sekali dia di bilas dengan air yang telah dibacakan doa itu.
Setelah semuanya selesai, waktu telah hampir masuk maghrib. Azman dan Ustaz Saiful meminta diri untuk beredar melakukan solat berjamaah Maghrib di Masjid. Selepas solat maghrib, Pak Husin mempelawa mereka berdua untuk makan malam.
Selepas makan malam di rumah Pak Hussin. Azman berpesan kepada Pak Husin supaya membuang pokok ciku yang di tanam di hadapan rumahnya. Ini adalah pesanan Ustaz Haron Din, kerana mengikut pengalaman beliau dipokok ciku makhluk halus suka singgah dan bermain. Gila Babi adalah sejenis penyakit gangguan spiritual yang ada kaitan dengan makhluk halus (syaitan).
Membuang pokok ciku itu adalah satu ikhtiar untuk mengatasi masalah gangguan makhluk halus tersebut.
Sebelum bertolak balik, Pak Husin memberikan sedikit wang untuk isi minyak dan tol, sebaliknya Azman menolak kata Azman “Kami dari Darussyifa’ merawat secara percuma Pakcik, Biarlah Allah SWT yang membalas amal perbuatan kami.” Pak Husin mendesak nak bagi juga, akhirnya tidak mahu kecilkan hati Pak Husin, dia ambil duit tersebut (dalam hatinya berkata aku akan sedekahkan di masjid duit ini).
Dalam perjalanan pulang balik Ustaz Saiful berkata kepada Azman “Apa yang enta buat tadi sungguh bagus, sekurang-kurangnya ada ikhtiar yang boleh kita buat bila orang mintak tolong”
“Ana rasa ana nak belajar ilmu perubatan Islam ini dari Ustaz Haron Din” tambah Ustaz Saiful.
“Alhamdulillah, akhirnya terbuka juga hati Ustaz” kata Azman tersenyum
Mereka sampai di Bangi hampir jam 2:00 pagi.
Sebelum masuk tidur Azman melakukan Solat Taubat dan Solat hajat dua rakaat memohon keampunan dari Allah dan berdoa agar Hafiz di berikan kesembuhan oleh Allah SWT.
Doa yang paling mustajab ialah mendoakan saudara muslim kita yang lain tanpa dia mengetahui kita mendoakan untuknya seperti hadith rasulullah;
Mahfum Hadith:
Daripada Abu Darda’ r.a: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Doa seorang muslim kepada saudaranya yang muslim dengan tanpa diketahui olehnya adalah mustajab, (ketika berdo’a) akan ada didekatnya seorang malaikat muwakkal (pesuruh) setiap ia berdoa untuk saudaranya itu dengan sesuatu kebaikan (malaikat itu) akan berkata: Amin! Dan bagi engkau kebaikan yang sama (Hadith Riwayat oleh Muslim)

Bersambung………………….Adakah Hafiz sembuh seperti sediakala……ikutilah sambungannya akan datang….Pak Hussin cemas Hafiz hilang dari biliknya pada waktu subuh….

Ahad, 8 Mei 2011

Amalan Ringan yang Akan Menghapus Dosa Kita

Manusia sering melakukan kesalahan dan lupa. Kerananya wajar jika kita kadang-kadang melakukan dosa melanggar batas-batas yang telah ditetapkan Allah untuk kita. Jika tidak dihapus, dosa-dosa itu akan semakin menumpuk dan akan menghitamkan atau menutup hati kita. Syukur alhamdulillaah, kita memiliki Allah yang sedemikian penyayang dan Maha Pengampun. Yang Allah pinta hanyalah kembalinya kita kepada-Nya setelah kita melakukan dosa. Mengakui kesalahan kita, meminta maaf atas kekhilafan kita,memohon ampunan atas dosa kita, itulah yang Allah pinta. Sebagai gantinya Allah akan mengampuni kita dan menghapus dosa-dosa kita, berapa pun banyaknya.

Doa dan Dzikir Penghapus Dosa

Berikut ini adalah beberapa tuntunan Rasulullaah saw. tentang amal-amal yang akan menghapuskan dosa-dosa kita. Diriwayatkan dari Abu Hurairah, r.a. bahwa Nabi saw. bersabda: “Barangsiapa mengucapkan ‘ Laa ilaaha illallaahu wahdahu laa syaarikalahu, lahul mulku wa lahul hamdu wa huwa ‘alaa kulli syai’in qadiirseratus kali akan memperoleh ganjaran sebagaimana membebaskan sepuluh budak, dan seratus kebaikan akan dicatatkan atasnya, dan seratus dosa akan dihapuskan dari catatan amalnya, dan ucapan tadi akan menjadi perisai baginya dari Syaithan pada hari itu hingga malam hari, dan tak ada seorangpun yang bisa mengalahkan amal kebaikannya kecuali orang yang melakukan amal yang lebih baik darinya.” [Shahih Bukhari] “Barangsiapa yang membaca Subhanallah sehabis tiap bershalat -wajib- sebanyak tiga puluh tiga kali dan membaca Alhamdudillah sebanyak tiga puluh tiga kali dan pula membaca Allahu Akbar sebanyak tiga puluh tiga kali dan untuk menyempurnakan keseratusnya ia membaca: La ilaha illallahu wahdahu la syarikalah, lahul mulku wa lahul hamdu wa huwa ‘ala kulli syai-in qadir, maka diampunkanlah untuknya semua kesalahan-kesalahannya, sekalipun banyaknya itu seperti buih lautan.” [Shahih Muslim] “Barangsiapa yang mengucapkan: Subhanallah wa bihamdih -Maha Suci Allah dan dengan mengucapkan puji-pujian padaNya-, dalam sehari sebanyak seratus kali, maka dihapuskanlah dari dirinya semua kesalahan-kesalahannya (dosa-dosa kecil), sekalipun kesalahan-kesalahannya itu banyaknya seperti buih lautan.” [Muttafaq 'alaih] Dari Abu Barzah Al-Aslami radhiyallahu ’anhu ia berkata: “Jika Rasulullah shollallahu ’alaih wa sallam hendak bangun dari suatu majelis beliau membaca: Subhanakallahumma wabihamdika asyhadu allaa ilaaha illa anta astaghfiruka wa atuubu ilaika (Maha Suci Engkau ya Allah dan segala puji bagiMu, aku bersaksi bahwa tiada ilah selain Engkau aku mohon ampun dan bertaubat kepadaMu)”. Seorang sahabat berkata: “Ya Rasulullah, engkau telah membaca bacaan yang dahulu tidak biasa engkau baca?” Beliau menjawab: “Itu sebagai penebus dosa yang terjadi dalam sebuah majelis.” [Riwayat Abu Dawud]

Rabu, 4 Mei 2011

Menanti Di Alam Kubur


Setiap yang bernyawa pasti akan mati, begitu jugalah dengan manusia tiada seorang pun boleh lari dari ajalnya yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Apabila ajal seseorang itu telah sampai malaikat Izrail tetap akan mencabut nyawanya tidak kira di mana seseorang itu berada. Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Jumu’ah ayat 8: 

Maksudnya :

" Katakanlah: Sebenarnya maut yang kamu larikan diri daripadanya itu, tetaplah ia akan menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah) yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu Ia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah lakukan (serta membalasnya).  

Begitulah apabila nyawa seseorang telah terpisah daripada jasadnya, maka tinggallah segala apa yang dimilik sama ada ahli keluarga,anak-anak,  saudara mara, pangkat,harta benda dan sebagainya. Jasad yang terbujur kaku akan diurus dan dihantar ke kubur untuk dikebumikan. Pada saat itu, terpisahlah ia ke alam lain iaitu alam kubur atau alam barzakh sementara menunggu hari hisab dan pembalasan di akhirat. Menurut kamus Lisanul Arab oleh Ibni Manzur, makna alam kubur ialah suatu tempat di antara dunia dan akhirat sebelum dihimpunkan di padang Mahsyar daripada waktu mati hinggalah dibangkitkan atau ia juga bermakna dinding pemisah antara dua alam sejak dari waktu kematian seseorang sehinggalah dia dibangkitkan. Jadi sesiapa yang mati bermakna dia telah memasuki alam barzakh atau alam kubur.  Alam kubur  juga  merupakan tempat permulaan seorang manusia itu dihukum segala amalannya semasa hidup di dunia ini. firman Allah SWT dalam surah al-An’am ayat 62:


Maksudnya :

" Kemudian mereka dikembalikan kepada Allah Pengawas mereka yang sebenar. Ketahuilah, bagi Allah jualah kuasa menetapkan hukum dan Dialah secepat-cepat Penghitung.”

Ketika berada di alam kubur seseorang itu dapat menjangkakan sama ada dia akan mendapat kenikmatan atau kesengsaraan di akhirat kelak. Perkara ini disebut dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya kubur itu ialah penginapan pertama antara penginapan akhirat, maka sekiranya seseorang itu terlepas dari seksaannya, maka apa yang akan datang kemudiannya akan lebih mudah lagi dan seandainya seseorang itu tidak terlepas (kandas) daripada (seksaannya), maka yang akan datang sesudahnya akan lebih sukar (keras)." Bagi orang yang beriman kehidupan mereka di alam kubur dipenuhi dengan segala macam kenikmatan kurniaan Allah SWT. Sebaliknya bagi orang yang syirik, kufur dan ingkar terhadap suruhan dan perintah Allah sudah pasti seksaan dan azab kubur diterima sebagai tanda hukuman yang akan diterima di hari akhirat. Sahabat Nabi bernama Ubaid bin Umair al-Laitsi berkata, “ setiap mayat yang hendak meninggal, pasti liang lahad di mana mayat itu di kubur memanggilnya, “Akulah rumah yang gelap gelita, sunyi dan sendiri. Jika waktu hidupmu kau taat kepada Allah SWT maka aku hari ini akan menjadi rahmat bagimu. Jika kau derhaka, maka hari ini aku akan menjadi seksa bagimu. Siapa memasukinya dengan taat, akan keluar dengan bahagia. Dan sesiapa masuk dengan derhaka, dia akan keluar dengan penuh penyesalan.

 Sesungguhnya nikmat dan azab kubur adalah sesuatu yang wajib kita percayai dan yakini kewujudannya kerana ia dapat meningkatkan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah SWT. Rasulullah SAW memerintahkan kita agar sentiasa memohon pelindungan daripada Allah SWT dari azab kubur sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang menyuruh para sahabat agar mengamalkan doa seperti berikut: 


Bermaksud:

“Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku mohon berlindung dari azab api neraka dan aku mohon berlindung dari azab kubur.”(Riwayat Muslim)

 Kita wajib berlindung diri dari azab kubur, kerana alam kubur merupakan persinggahan sementara untuk kehidupan selanjutnya. Jika di alam kubur kita mendapat kenikmatan, itulah tanda bahawa kita akan mendapat kemudahan dan kebahagiaan di alam akhirat nanti. Sebaliknya, apabila mendapat azab kubur, itulah petanda bahawa orang tersebut akan mendapat kesulitan di akhirat sebagaimana Rasulullah SAW: 


Bermaksud:

“Sesungguhnya kubur itu, adalah singgahan pertama ke akhirat, sekiranya yang singgah itu terselamat, maka perjalanan selepas daripada itu lebih mudah lagi. Dan jika tidak selamat, maka perjalanan selepas daripada itu lebih sukar lagi.” (Riwayat at-Tirmizi)


Berdasarkan kepada pemerhatian, ramai umat manusia pada hari ini melupai tentang hakikat sebenar kehidupan dengan gagal mempersiapkan diri untuk menghadapi kematian dan menyedari bahawa dirinya akan menjadi penghuni kubur. Ramai daripada kita leka dengan kehidupan dunia. Jika ada di kalangan kita yang mengingati kematian, itu pun hanya dilakukan dengan sambil lewa tanpa merasa takut dan gentar akan kedasyatan azab alam kubur  ini. Mengapa ini berlaku, hal ini berpunca disebabkan hati kita yang terlalu cinta dan sibuk dengan perkara dunia sehingga menyebabkan hati kita keras dan gelap dari cahaya. Ingatlah bahawa  jalan Allah SWT tidak dapat kita tempuhi dengan telapak kaki tetapi ia dapat ditempuh dengan kekuatan dan kesucian hati. Jika kita merasakan hati kita keras dan beku rawatilah ia dengan melaksanakan beberapa perkara seperti berikut:

Pertama: Gunakanlah masa yang berkualiti ini dengan sentiasa membaca al-Quran dan berzikir.
Kedua: Bersikap tawaduk dan sentiasa merendah diri di hadapan Allah SWT. 

Ketiga: Menghadiri majlis-majlis ilmu. Sedarilah, semakin tinggi ilmu agama seseorang semakin takut dia kepada tuhan-Nya. Di samping itu juga elakkan diri dari menghadiri majlis-majlis yang tidak berfaedah dan membuang masa. 

Keempat: Mengingati mati. Seseorang yang sentiasa ingat akan kematian menyebabkan hatinya tertumpu kepada alam akhirat, sekaligus meremehkan dunia dan tidak panjang angan-angan. 
Kelima: Menziarahi kubur. Jika hati kita tidak dapat disembuhkan dengan cara sebelum ini maka inilah  cara yang paling berkesan dalam mengubati hati yang keras.  Rasulullah SAW bersabda:

Bermaksud:

“Ziarahilah kubur kerana ia akan mengingatkanmu kepada kematian”  (Riwayat Muslim)

Marilah sama-sama kita menghitung diri kita, bagaimana nasib kita di alam kubur nanti, adakah kita sebahagian dari umat yang akan dirahmati atau akan di azab oleh Allah SWT. Renungilah kehidupan kita selama ini, adakah kita sudah bersedia untuk meninggalkan alam dunia ini, bagaimana dengan amalan kita? adakah sudah mencukupi untuk bertemu dengan Alllah SWT di akhirat kelak. Ingatlah segala amalan kita akan diperhitungkan samada ia berpahala atau berdosa dan semuanya terserah kepada neraca keadilan yang telah ditentukan oleh Allah SWT. lngatlah wahai  muslimin, bahawa setiap pergerakan kita sentiasa diawasi oleh dua malaikat iaitu Raqib dan Atid. Elakkan daripada terjerumus ke dalam dosa termasuk melemparkan tuduhan, prasangka buruk serta bercakap bohong. Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-Zalzalah ayat 7 dan 8:


 Maksudnya:

" Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarrah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarrah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! . "